Pages

Thursday, March 3, 2011

Tentera Gaddafi gagal lagi


POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.
POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.


AJDABIYA: Pemberontak Libya semalam berkata, mereka mematahkan serangan oleh tentera Muammar Gaddafi di Brega, bandar di timur negara itu. Menurut saksi, dua orang terbunuh dalam pertempuran itu.
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika rejim Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap bandar Ajdabiya yang terletak berhampiran Brega yang turut dikuasai oleh kumpulan penentang.

Dalam serangan balas besar-besaran, tentera Gaddafi yang menggunakan kereta kebal dan senjata berat, menyerang Brega, 200 kilometer ke barat daya Benghazi, menyebabkan pertempuran sengit berlaku.

Pesawat tentera Libya juga melancarkan serangan udara terhadap Ajdabiya, 40 kilometer dari Brega, mensasarkan pangkalan tentera yang kini di bawah penguasaan penentang.

“Brega kini di bawah penguasaan penuh penyokong revolusi. Penduduk Ajdabiya turut berada di bandar itu untuk membantu mempertahankannya,” kata seorang pegawai kanan polis di Ajdabiya.


Pejuang dari Ajdabiya, Mehdi Suleiman berkata, tentera Gaddafi melancarkan serangan dalam usaha menawan semula bandar itu tetapi kini mereka berundur.

“Bagaimanapun, beberapa tentera upahan masih bertempur dengan pemberontak,” katanya.

Terdahulu, seorang penduduk Brega yang dihubungi menerusi telefon berkata, tentera Gaddafi memasuki bandar itu dan pertempuran sengit meletus di pelabuhan.

Menurut Ayman al-Moghrabi, doktor di Ajdabiya, serangan bermula tengah malam semalam.

“Mereka menyerang lapangan terbang di Brega dan bertempur dengan pemberontak,” kata doktor itu.


Sementara itu di Ajdabiya, seorang saksi berkata, pesawat tentera Gaddafi mengebom tempat simpanan senjata yang turut menjadi sasaran serangan dua hari lalu.


Bagaimanapun, seorang penduduk lain berkata, serangan semalam tertumpu pada pangkalan tentera yang terletak tiga kilometer dari bandar berkenaan.


“Mereka mengebom pangkalan tentera El Haniya. Tetapi ia gagal menepati sasaran. Tidak ada yang cedera kerana ia terkena kawasan lapang di luar pangkalan tentera itu,” kata penduduk berkenaan. - AFPmyMetro

No comments:

Post a Comment