Pages

Wednesday, March 16, 2011

Tahap radiasi Tokyo tinggi





2011/03/16


  • Foto
    MANGSA tsunami, gempa mengambil hidangan tengah hari di pusat perlindungan Ofunato, Iwate.
  • Foto
    SEBILANGAN mangsa terselamat di pusat perlindungan di Minamisanriku, melakukan senaman.
Sebuah lagi reaktor ketiga di Fukushima Daiichi meletup

TOKYO: Krisis nuklear Jepun semakin meruncing semalam apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke Tokyo, kira-kira 170 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi mega minggu lalu itu.
Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo pagi semalam, tetapi kerajaan tempatan berkata, tahap itu masih tidak memberi risiko kesihatan kepada manusia.
Perdana Menteri Naoto Kan, merayu penduduk negara itu tidak panik, tetapi memberi amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku.

Bagaimanapun, arah angin mungkin menjadi penyelamat berikutan tiupan kini membawa radiasi itu menuju ke Lautan Pasifik dan tidak ke kawasan padat penduduk di Jepun dan negara Asia lain.

Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam adalah ketiga dalam empat hari – menjadikan krisis itu terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Walaupun berdepan risiko pendedahan radiasi, jurutera di loji Fukushima Daiichi yang berusia 40 tahun itu, berkerja keras untuk menyejukkan reaktor nombor dua yang rosak teruk dengan mengepam masuk air laut ke dalamnya.
Kebanyakan daripada 800 pekerja di loji itu sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dengan hanya 50 pekerja ditinggalkan untuk menangani krisis berkenaan.

Selepas mesyuarat Kabinet tergempar semalam, Kan memberitahu penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi agar tidak keluar dari rumah, menutup tingkap dan tidak menggunakan pendingin udara.

“Walaupun insiden itu amat membimbangkan, saya merayu penduduk supaya tenang,” kata Kan pada sidang akhbar disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

Rayuan beliau disambut baik penduduk dengan tidak ada tanda suasana panik di negara yang pernah mengalami serangan radiasi di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua.

Ketua bahagian pengurangan risiko Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Maryam Golnaraghi, berkata arah angin semasa meniup bahan radioaktif dari loji Fukushima Daiichi ke arah Lautan Pasifik dan tidak kawasan padat penduduk, namun arah angin itu mungkin berubah.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa dipercayai terperangkap dan masih menunggu bantuan dengan kira-kira 1,300 orang ditemui berlindung di pulau Oshima, wilayah Miyagi semalam.

Kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang yang berlindung di sekolah juga dikesan masih tidak mendapat bantuan.

Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai memberitahu sidang akhbar kebanyakan hospital menghadapi masalah kekurangan ubat, manakala peningkatan mendadak jumlah mayat yang ditemui menyebabkan rumah mayat sesak.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata jumlah bangunan yang musnah sepenuh atau sebahagiannya mencecah 72,945 semalam. – Reuters/Agensi
Berita Harian Online 

No comments:

Post a Comment