Pages

Thursday, March 24, 2011

Russia, AS bertelagah

MOSCOW: Russia dan Amerika Syarikat bertelagah mengenai isu serangan tentera Bersekutu ke atas Libya, semalam, dengan pegawai kanan Washington menuduh Moscow diperdaya Muammar Gaddafi.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates, Presiden Russia, Dmitry Medvedev, menyatakan rasa kurang senang negara itu terhadap penggunaan kekerasan semberono tentera Bersekutu.

Kenyataan dikeluarkan Kremlin menyatakan, Medvedev bimbang terhadap pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai zon larangan terbang di Libya.

“Penggunaan kekerasan membabi-buta mungkin menyebabkan orang awam terkorban,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan Russia, Anatoly Serdyukov, menggesa gencatan senjata dilaksanakan serta-merta kerana kempen ketenteraan itu membunuh orang awam.

Serdyukov berkata, pembunuhan orang awam tidak boleh dibiarkan dan mesej itu disampaikan Russia kepada rakan sejawatnya di AS.

Sementara itu, Gates tegas menolak kritikan Russia dan menjangkakan serangan itu akan berkurangan beberapa hari lagi.

Katanya, tentera antarabangsa mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak orang awam menjadi mangsa.
“Kebanyakan sasaran terletak jauh dari bandar,” katanya.

Kepada wakil media yang mengikuti rombongannya, Gates berkata, hampir semua kematian orang awam disebabkan tentera yang setia kepada Gaddafi.

Gates turut mempertikaikan pendirian Moscow.

“Seolah-olah ada sesetengah orang di sini terpedaya dengan dakwaan Gaddafi yang pada pandangan saya hanya pembohongan,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment