Pages

Friday, March 4, 2011

Ranhill pindah 2,363 pekerja di Libya



KUALA LUMPUR 3 Mac - Ranhill Berhad (Ranhill) telah memindahkan seramai 2,363 daripada 2,652 pekerjanya dari lapan negara yang bekerja bagi projek perumahan Tajura di pinggir bandar timur Tripoli, Libya setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Amona Ranhill Consortium Sdn. Bhd. Ahmad Zakiruddin Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 76 daripada 78 rakyat Malaysia telah dikeluarkan dan kini berada di tanah air.
Menurutnya, dua lagi rakyat Malaysia bersama seorang lagi pekerja British masih berada di Libya bagi mengetuai proses pemindahan baki pekerja Ranhill yang berada di negara yang sedang bergolak itu.
''Pelan pemindahan pekerja Ranhill sentiasa menjadi keutamaan sejak krisis itu bermula sepanjang tempoh 10 hari dan kami gembira proses itu berjalan lancar walaupun dalam keadaan yang mencabar.
''Justeru kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Libya; Wisma Putra; Majlis Keselamatan Negara; Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); wakil konsulat dan Malaysian Airlines System (MAS) kerana memberi sokongan dan membantu dalam usaha pemindahan pekerja kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak lapan negara yang terlibat dalam projek perumahan Tajura iaitu Thailand (1,158); Bangladesh (755); India (567); Filipina; Indonesia (6); Britain (3) dan Pakistan (1).
Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi memberitahu, semua rakyat Malaysia yang berada di Libya telah dibawa keluar dari negara berkenaan dan yang terakhir merupakan lima pelajar dan seorang pekerja Ranhill yang dijadual tiba di Malaysia esok.
Katanya, maklumat yang mengatakan dua rakyat Malaysia hilang sebagaimana dakwa ahli keluarga mereka masih tidak dapat dipastikan setakat ini.
''Namun kedutaan kita yang kini beroperasi di Malta akan terus berusaha mengesan kedudukan mereka ini.
''Pada masa sama, kita nasihatkan rakyat kita supaya tidak mengunjungi negara itu buat masa ini kerana keadaannya masih tidak stabil," katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment