Pages

Monday, March 7, 2011

Penentang mara ke kampung Gaddafi




PENENTANG  Gaddafi di Ras Lanuf memeriksa peralatan perang sebelum meneruskan kemaraan.
PENENTANG Gaddafi di Ras Lanuf memeriksa peralatan perang sebelum meneruskan kemaraan.




Penyokong pemimpin Libya pula percaya askar kerajaan tawan semula beberapa bandar

RAS LANUF: Pesawat perang Libya melancarkan serangan udara manakala pasukan keselamatan yang setia dengan pemimpin Muammar Gaddafi bertempur sengit dengan pemberontak ketika mereka semakin menghampiri Sirte, kampung halaman pemimpin itu serta turut mara ke ibu negara, Tripoli.

Anggota penentang mula bergerak keluar dari kawasan timur yang dikuasai pemberontak akhir minggu lalu sebelum menghala ke Tripoli.

Di dalam perjalanan, mereka menawan dua bandar pelabuhan minyak utama iaitu Brega dan Ras Lanuf. Tetapi, ia tidak menghalang pemberontak terus menghala ke kawasan barat sekalipun mereka diserang dari udara dan darat.
Wartawan agensi berita yang berada di tempat kejadian melaporkan, penyokong setia Gaddafi berjaya menawan semula bandar Bin Jawad, kira-kira 160 kilometer ke timur Sirte yang juga kubu kuat pemimpin itu.

Pemberontakan yang bermula 15 Februari lalu dicetuskan daripada tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir kini semakin menghampiri perang saudara yang mungkin berpanjangan, dengan pemberontak cuba menggulingkan rejim Gaddafi yang sudah berkuasa selama 41 tahun.

Pada masa sama, tentera kerajaan sekali lagi melancarkan serangan balas di bandar barat Tripoli, Brega dan Zawiyah, yang menyaksikan pertempuran jalanan.
Di Tripoli yang mempunyai dua juta penduduk dan dikuasai Gaddafi, penghuninya dikejutkan dengan bunyi tembakan senjata api bertalu-talu sebelum subuh yang berlarutan hingga sekurang-kurangnya dua jam.
Punca tembakan tidak begitu jelas walaupun pihak berkuasa Libya berkata ia bertujuan menyambut kejayaan penyokong Gaddafi merampas semula bandar Ras Lanuf berhampiran dengan bandar Misrata.

Bagaimanapun, wartawan Associated Press (AP) berkata, pemberontak masih menguasai Ras Lanuf, manakala penduduk Misrata turut menegaskan bahawa bandaraya itu kekal di tangan pemberontak.

Menjelang pagi, beribu-ribu penyokong Gaddafi membanjiri dataran utama Tripoli untuk mengadakan perhimpunan, sambil mengibarkan bendera hijau dan melepaskan tembakan ke udara sambil menjulang sepanduk menyokong rejim itu.

Beratus-ratus orang memandu kenderaan di kem tentera Bab al-Aziziya, tempat tinggal Gaddafi sambil mengibarkan bendera dan bersorak gembira.

Kumpulan lelaki bersenjata berpakaian preman yang berdiri di pintu pagar juga melepaskan tembakan. Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Gaddafi berada ketika itu. – APBerita Harian Online

No comments:

Post a Comment