Pages

Monday, March 14, 2011

Pemberontak semakin lemah lawan Gaddafi

Kosmo!



BEBERAPA pemberontak melarikan diri selepas satu serangan udara tentera yang setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi dilancarkan dekat bandar Brega kelmarin.


BENGHAZI, Libya - Para pemberontak dilihat meninggalkan bandar minyak Brega semalam selepas tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan.
"Para pemberontak sudah meninggalkan Brega," kata seorang saksi, Osama Jazwi menerusi telefon kepada wartawan agensi berita Reuters.
Seorang lagi penduduk, Abdul Hakim memberitahu bahawa para pemberontak sudah meninggalkan bandar berkenaan.
Sebelum ini laporan berita Libyan TV menyatakan tentera Gaddafi sudah merampas semula bandar Brega daripada penguasaan para pemberontak.
Pergolakan di negara itu bermula pada 15 Februari lalu apabila para penunjuk perasaan bertempur dengan askar-askar Gaddafi.
Pertempuran itu berlaku bagi menuntut peletakan jawatan Gaddafi yang sudah berkuasa selama hampir 41 tahun di Libya.
Pergolakan itu tercetus ekoran kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang menyebabkan kedua-dua pemimpin di negara tersebut terpaksa meletakkan jawatan.
Kumpulan para penentang dilihat semakin lemah terutama apabila berlaku pengunduran terbesar pada minggu lalu di kawasan timur negara tersebut yang dikuasai mereka.
Kelmarin, Liga Arab meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan larangan terbang di Libya, meningkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar Barat lain untuk mengambil tindakan terhadap Gaddafi ekoran pergolakan tersebut yang dipercayai mengorbakan lebih 1,000 orang.
Kesemua 22 anggota Liga Arab mengakui Libya telah kehilangan kedaulatan dan meminta PBB memikul tanggunjawab dengan melaksanakan zon larangan terbang di negara berkenaan. - Agensi

No comments:

Post a Comment