Pages

Sunday, March 27, 2011

Operasi menyelamat mangsa gempa


SEORANG sami Buddha warga Thailand melihat sebuah pagoda yang rosak semalam di daerah Chiang Saen dekat sempadan Thailand-Myanmar.
KIRI: Sebuah rumah yang ranap di bandar Tarlay, negeri Shan selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar pada Khamis lalu.


YANGON - Pasukan penyelamat semalam bergelut untuk sampai ke bandar-bandar di pedalaman Myanmar yang dilanda gempa bumi yang setakat ini meragut nyawa 75 orang dan meranapkan banyak bangunan dan beratus-ratus rumah kayu.
Seorang pegawai Myanmar berkata, angka rasmi kematian sejak kelmarin kekal 74 orang manakala seorang wanita terbunuh di sempadan Thailand.
"Namun, angka kematian berkemungkinan besar meningkat kerana terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dimasuki kerana masalah pengangkutan," katanya.
Gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter itu menggegarkan timur laut Myanmar berhampiran sempadan Thailand dan Laos pada malam Khamis lepas.
Gegaran turut dirasakan hingga jarak sekitar 1,000 kilometer di Thailand, Laos, Vietnam dan selatan China.
Media pemerintah melaporkan seramai 74 orang terbunuh manakala 111 yang lain cedera dalam bencana kali ini.
Sejumlah 390 buah rumah ranap dengan 14 kuil dan 9 bangunan pemerintah turut rosak.
Penduduk tempatan memberitahu, ramai yang terperangkap berhampiran pusat gempa 96 kilometer ke utara di negeri Shan selepas sebuah jambatan utama runtuh dengan sejumlah mangsa terperangkap dalam tanah runtuh di sepanjang tebing sungai terbabit.
Bot-bot digunakan untuk mengangkut mangsa-mangsa yang cedera ke seberang sungai.
Bandar Tarlay, Tachileik dan kampung-kampung sekitarnya di negeri Shan paling teruk terjejas dalam gempa kali ini dengan ratusan buah rumah ranap dan sejumlah kuil serta bangunan pentadbiran pula rosak.
Seorang penduduk tempatan dalam satu kenyataan yang disiarkan satu forum Internet menyifatkan bandar Tachileik kini musnah.
"Orang ramai masih takut, ramai orang tidur di luar rumah. Mereka mungkin kembali kediaman masing-masing hari ini (semalam) setelah tiada gempa susulan berlaku," katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment