Pages

Saturday, March 26, 2011

Mayat jadi bukti

TRIPOLI: Orang awam - termasuk wanita - adalah antara mangsa pengeboman tentera Bersekutu dalam serangan terbaru ke atas ibu negara Libya, kata pegawai kerajaan dan kakitangan hospital, semalam.
Menurut pegawai kerajaan, jumlah kematian sejak serangan bermula awal pagi Ahad lalu mencapai 100 orang.


Mereka turut menuduh tentera Bersekutu mengambil sikap menyokong perjuangan pemberontak yang mahu menggulingkan Muammar Gaddafi sebagai pemimpin Libya.


Pekerja rumah mayat, Ahmed Hussein, berkata dia menguruskan mangsa serangan ke atas lokasi awam dan tentera.


Wartawan agensi berita asing turut dibawa melawat Hospital Pusat Tripoli dan ditunjukkan 15 mayat yang didakwa mangsa serangan terbaru tentera Bersekutu.


Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak bebas yang boleh mengesahkan setiap dakwaan berkenaan.


Pada masa sama, tentera Bersekutu terus menafikan mereka menyerang lokasi awam dalam usaha menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.


Ketika melawat hospital itu, wartawan melihat mayat berkenaan diatur di atas troli besi dan petugas memakai penutup hidung bagi mengurangkan kesan bau busuk.
Tiga daripada mayat itu adalah wanita berpakaian biasa, manakala kebanyakan mangsa lain mengenakan pakaian seragam tentera.


Sesetengah mayat rentung dan sukar dikenal pasti.


Tiada sebarang nama diberikan dan doktor juga tiada di situ untuk memberi kenyataan.


Petugas hospital berkata, mayat itu adalah mangsa serangan udara semalam dan kelmarin walaupun satu daripada bungkusan mayat itu tercatat tarikh 18 Mac - hari pertama serangan udara dimulakan. - Reuters
-metro

No comments:

Post a Comment