Pages

Saturday, March 19, 2011

Libya akan diserang?




PARA pemberontak menggunakan kereta kebal semasa mengawal pintu masuk ke bandar Tobruk, Libya kelmarin.


PARIS – Perancis akan memulakan operasi ketenteraan menentang Libya dalam tempoh beberapa jam lagi bagi membantu para pemberontak menentang kepimpinan Muammar Gaddafi di negara itu.
Operasi ketenteraan itu juga dilakukan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi kelmarin yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dan melancarkan satu operasi ketenteraan untuk mengatasi kemaraan tentera Gaddafi.
Jurucakap pentadbiran Perancis, Francois Baroin mengesahkan bahawa negaranya akan memulakan operasi ketenteraan itu.
Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Libya diserang sekali gus menggulingkan Gaddafi yang telah memerintah hampir 42 tahun.
Gaddafi sebelum ini menyatakan beliau tidak akan berundur sebaliknya akan terus berjuang menentang para pemberontak.
Pemberontakan di negara itu bermula pada 15 Februari lalu selepas para penentang melihat kejayaan para penunjuk perasaan berhimpun di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua presiden di negara tersebut meletakkan jawatan.
Para pemberontak mendakwa Gaddafi gagal memerintah dengan baik manakala pembaziran wang negara yang dilakukan anak-anaknya didedahkan media.
Sementara itu, satu gencatan senjata diumumkan oleh Menteri Luar Libya, Moussa Koussa.
Menurutnya, pihak tentera akan menghentikan serangan serta-merta ekoran resolusi PBB itu.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, tentera negaranya akan menghantar jet-jet pejuang Tornado dan Typhoons termasuk pesawat lain bagi memastikan zon larangan terbang itu dikuatkuasakan.
Sumber-sumber diplomatik menyatakan, Amerika Syarikat (AS) dan salah sebuah negara Arab mungkin menyertai operasi ketenteraan itu. – Agensi

No comments:

Post a Comment