Pages

Wednesday, March 30, 2011

Kabinet Syria dijangka dibubar



Beribu-ribu penduduk Syria mengibarkan bendera negara itu semasa mengadakan tunjuk perasaan di Damsyik sebagai tanda sokongan kepada Presiden Bashar al-Assad, semalam. - AFP


DAMSYIK 29 Mac - Kerajaan Syria dijangka dibubarkan hari ini dan Kabinet akan dibentuk dalam tempoh 24 jam, kata seorang pegawai kanan di sini kepada AFP.
Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan akan mengemukakan peletakan jawatannya hari ini dan Kabinet baru bakal dibentuk dalam tempoh 24 jam.
Perdana Menteri Mohammed Naji Otri membentuk kerajaannya pada 2003 dan melakukan rombakan terakhir pada April 2009.
Sementara itu, beribu-ribu rakyat Syria berhimpun di ibu negara ini dan sekurang-kurangnya empat bandar lain hari ini sambil membawa gambar Presiden Bashar Assad dan mengibarkan bendera Syria bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Penyokong kerajaan hari ini berhimpun di Damsyik, wilayah Aleppo dan Hasakeh di utara Syria dan bandar Hama dan Homs di bahagian tengah negara.
Sesi persekolahan dibatalkan hari ini sementara golongan pekerja diberikan pelepasan selama dua jam bagi menghadiri perhimpunan tersebut.
"Rakyat mahukan Assad. Kami menolak perpecahan kaum dan perselisihan sivil," laung mereka sambil membawa sepanduk prokerajaan.
Assad yang menguasai Syria selama empat dekad dan mempunyai rekod menumpaskan pihak yang menentangnya dengan kejam, cuba untuk meredakan protes secara kompromi.
Beliau dijangka menyampaikan ucapan kepada negara dalam tempoh 24 jam bagi mengumumkan penarikan balik pemerintahan darurat selama hampir 50 tahun dan membatalkan sekatan ketat ke atas kebebasan sivil serta politik. - AFP

No comments:

Post a Comment