Pages

Tuesday, March 1, 2011

Industri minyak Libya kucar-kacir



MADRID 28 Feb. - Industri minyak Libya kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan tiada siapa tahu bilakah ia akan berakhir.
Lelaki bersenjata mencuri kelengkapan dari kilang pemprosesan minyak. Komando Britain dan Jerman menjalankan serbuan rahsia di kawasan padang pasir Libya bagi menyelamatkan pekerja minyak yang terkandas ketika keselamatan di kem-kem minyak terpencil semakin berkurangan.
Pekerja pelabuhan Libya yang takut ditangkap dalam tindakan keras yang diarahkan Presiden Muammar Gaddafi, tidak hadir ke tempat kerja, menyebabkan kapal-kapal tangki gagal diisi dengan minyak dan hanya terapung di Laut Mediterranean.
Syarikat-syarikat minyak Eropah yang mengekstrak emas hitam itu kini beroperasi dalam keadaan krisis ketika usaha membawa keluar pekerja mereka dengan selamat dilakukan, di tengah-tengah maklumat bercanggah tentang jumlah minyak yang masih dipam dan di mana ia disimpan.
Situasi itu dijangka berlanjutan dan tidak akan kembali pulih dalam masa terdekat.
Buat masa ini, tiada siapa tahu sama ada Gaddafi atau penunjuk perasaan yang mahu menyingkirkannya akan mengakhiri krisis Libya dengan mengawal simpanan minyak terbesar Afrika itu.
Terbaru, syarikat pengeluar minyak dan gas asli terbesar China, China National Petroleum Corp (CNPC) hari ini menghentikan pengeluarannya di Libya dan membawa keluar semua pekerjanya dari negara itu.
CNPC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghentikan operasi pengeluaran dan menutup kilang memproses minyak di negara Afrika itu selepas kem-kem minyak dan tapak operasinya diserang.
Minggu lalu, syarikat minyak seperti Total, Repsol, Eni, BASF serta OMV dari Australia menyatakan mereka akan menurun atau menghentikan pengeluaran di Libya. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment