Pages

Thursday, March 24, 2011

Gaddafi muncul beri ucapan



Gaya Muammar Gaddafi semasa berucap kepada para penyokongnya.


TRIPOLI – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi muncul di halaman istananya kelmarin untuk menyeru rakyat Libya supaya bersedia untuk berperang sekali gus menunjukkan pemimpin Libya itu masih hidup.
“Kita tidak akan menyerah diri. Kita akan mengalahkan mereka (tentera Barat) dengan apa jua cara pun. Kita bersedia untuk berperang sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Kita akan menang pada akhirnya,” kata Gaddafi, dalam rakaman video menunjukkan beliau berucap di hadapan sejumlah penyokongnya di halaman istananya di Bab Al-Aziziyah di sini.
“Serangan ini yang dilakukan kelompok fasis akan tamat dalam tong sampah sejarah,” katanya.
Ucapannya itu diiringi oleh percikan bunga api di Tripoli semasa para penyokong pemimpin tersebut bersorak dan melepaskan tembakan ke udara.
Sebelum ini, nasib Gaddafi tidak dapat dipastikan selepas sebahagian istana itu musnah akibat dibedil peluru berpandu tentera bersekutu.
Pada awal semalam, stesen televisyen CNN melaporkan serangan udara tentera bersekutu dilancarkan di bandar Misrata, timur Tripoli.
Di sebalik kata-kata semangat Gaddafi, terdapat laporan bahawa pemimpin Libya itu dipercayai sedang mencari penyelesaian kepada konflik di Libya selain peperangan.
Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberitahu stesen televisyen ABC bahawa orang kanan Gaddafi telah menghubungi sekutu Libya di seluruh dunia bagi mencari penyelesaian kepada krisis di negara itu.
Penentangan rakyat terhadap Gaddafi, 68, bermula sejak 15 Februari lalu susulan kejayaan gerakan reformasi kearah pemerintahan demokrasi di Tunisia dan Mesir.
Pertempuran di antara pihak pemberontak dan tentera Gaddafi masih belum berakhir manakala tentera Barat diketuai AS campur tangan dengan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya sejak Ahad lalu.
Zon larangan terbang itu diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis lalu dengan tujuan untuk mengelak Gaddafi melancarkan serangan ke atas penduduk awam.
Tujuan AS, Britain dan Perancis menyertai zon larangan itu juga adalah untuk memastikan Gaddafi berundur daripada jawatannya.
– Agensi

kosmo

No comments:

Post a Comment