Pages

Tuesday, March 29, 2011

Aset Raja Badwi

align="center" cellpadding="0" cellspacing="0" class="tr-caption-container" style="margin-left: auto; margin-right: auto; text-align: center;">
Foto
Foto
ATAS dari kiri, Muhammad, Saif al-Islam, Saadi, Mutassim, Hanibal, Saif al-Arab, Khamis dan Aisha.


SUDAH pelbagai gelaran dilontarkan terhadapnya - 'Anjing Gila Asia Barat,' dan 'Pengganas.' Namun, ia sama sekali tidak pernah mencalar semangat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang memerintah Libya, sebuah negara Afrika yang kaya hasil minyak, sehingga 42 tahun lamanya.
Malah, biarpun sudah berkuasa di negara yang berkeluasan 1.77 juta kilometer persegi itu, Gaddafi yang lebih terkenal sebagai pemimpin berpakaian unik ala jubah dengan topi pelbagai warna senada bajunya, seakan belum puas. Pernah beliau menghimpunkan semua ketua puak Afrika dan mengisytiharkan dirinya ‘Raja Segala Raja’ atau Raja Afrika.
Namun selepas sekian lama mengamalkan sikap ‘muka tebal’ dan meneruskan pentadbiran mengikut tindak tanduknya selain pernah dipulaukan kerana dituduh terbabit dalam keganasan, beliau kini parah dek tentangan rakyatnya sendiri sejak Februari lalu yang turut dikatakan hasil mainan tangan ghaib pihak Barat. Tentangan yang disusuli bedilan Tentera Bersekutu - Amerika Syarikat dan Eropah, Ahad lalu menerusi Operasi Odyssey Dawn atas alasan mahu memaksa Gaddafi menghentikan serangan terhadap rakyatnya sendiri. Antara yang terkorban termasuk anak lelakinya, Khamis yang turut memberi tamparan hebat kepada Gaddafi.

Rentetan peristiwa itu melonjakkan nama Gaddafi di persada antarabangsa yang sebelum ini suam-suam kuku. Bagaimanapun, selain mengenali dirinya sebagai pemimpin yang kini berdepan ujian paling getir, hakikatnya lelaki yang mengakui dirinya raja dua benua - Arab dan Afrika itu juga seperti insan lain, ada kehidupan peribadi dan keunikan yang menjadikannya istimewa berbanding pemerintah lain.

Pemilik nama asal Muammar Abu Minyar al-Gaddafi atau lebih dikenali Kolonel Gaddafi, dilahirkan pada 7 Jun 1942, di dalam khemah masyarakat Badwi di sebuah gurun di Sirte, sebuah bandar Meditterranean, 360 kilometer di timur Tripoli.

Beliau yang lebih sinonim dengan imej rambut lebat, berwajah serius, menduduki tampuk pemerintahan Libya selepas melancarkan rampasan kuasa tentera pada 1 September 1969 dengan menggulingkan Raja Idris. Gaddafi yang ketika itu baru berusia 27 tahun, mewujudkan Republik Arab Libya. Sepanjang tempoh 1970-an hingga 1980-an, kerajaannya dipinggirkan Barat kerana didakwa mengamalkan pelbagai kesalahan, termasuk keganasan dan membunuh pemimpin pembangkang serta mengumpul kekayaan bagi keluarganya.
Kekayaan melimpah ruah dimiliki pemimpin zalim ini dan keluarganya diketahui umum selepas banyak negara di serata dunia mula membekukan aset mereka yang nilainya mencecah berbilion dolar. Kerajaan Amerika Syarikat saja merampas kira-kira AS$30 bilion (kira-kira RM90 bilion) sementara Kanada membekukan RM7.26 bilion, Austria (RM5.14 bilion) dan United Kingdom kira-kira RM3 bilion. Aset yang dibekukan dikatakan hanya sebahagian kecil daripada nilai sebenar harta yang keluarga Gaddafi miliki di serata dunia.

Namun, selaras pergolakan di Libya, timbul persoalan - siapa bakal penggantinya? Gaddafi berkahwin dua - Fatiha dan Safiya Farkash dan mempunyai lapan anak iaitu tujuh lelaki dan seorang perempuan. Kebanyakan anaknya ini memainkan peranan penting mengawal negara di samping mempertingkatkan kekayaan keluarga mereka dengan ada di antaranya bakal pengganti Gaddafi.

Perkahwinan pertama pemimpin ini adalah bersama seorang guru, Fatiha. Malangnya, rumah tangga yang dibina hanya bertahan enam bulan dan hasil perkahwinan itu, mereka mendapat anak lelaki yang dinamakan Muhammad al-Gaddafi. Anak sulungnya itu menyandang jawatan ketua Jawatankuasa Olimpik Libya. Dari segi perniagaan pula, beliau mengetuai syarikat telekomunikasi awam yang mengawal penyedia perkhidmatan telefon dan komunikasi satelit di Libya. Muhammad yang berusia 41 tahun pernah bekerja sebagai saintis komputer.

Enam anak lain Gaddafi adalah dari perkahwinannya bersama Safia Farkash. Saif al Islam al Gaddafi, 39, anak sulung Gaddafi dan Safia, berkelulusan Sarjana London School of Economic, cukup fasih berbahasa Inggeris. Selepas menyambung pengajian dalam bidang seni bina dan ekonomi di Tripoli, Vienna dan London, beliau menubuhkan Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Antarabangsa Gaddafi pada tahun 1999. Di samping itu, beliau turut terbabit dalam perniagaan. Saif pernah meninggalkan Libya pada tahun 2006 selepas mengkritik cara pemerintahan bapanya sendiri. Atas pendapat lantangnya itu, dunia barat menganggap beliau berpotensi menjadi pengganti bapanya sebagai pemimpin yang progresif. Namun, Saif kembali ke Libya pada tahun 2008 walaupun beliau menyatakan yang beliau tidak berminat untuk meneruskan legasi pemerintahan bapanya. Ketika pergolakan yang berlaku baru-baru ini, beliau muncul di televisyen dan meminta orang ramai untuk senyap.

Saadi, 38, anak ketiga, pernah menyertai akademi ketenteraan Libya dan berpangkat kolonel seperti bapanya. Ketika perang dengan puak Islamis Libya, beliau berperanan komander unit elit. Pada 2003, beliau ke Itali untuk berkecimpung dalam sukan bola sepak secara profesional. Beliau sebaliknya jarang diturunkan dan atas faktor itu, meninggalkan kerjaya berkenaan lebih awal. Saadi kemudiannya berkahwin dengan anak perempuan pegawai tinggi tentera dan menguruskan Persekutuan Bola Sepak Libya.

Seorang lagi anak lelaki Gaddafi yang disebut-sebut menggantikannya adalah anak keempat beliau, Mutassim Billah Gaddafi, 36. Seperti abangnya Saadi, Mutassim juga pernah mengikuti latihan ketenteraan di Libya dan Arab Saudi, malah beliau berpangkat Leftenan Kolonel dalam pasukan itu. Mutassim juga ke Arab Saudi dengan tujuan melakukan rampasan kuasa terhadap bapanya, namun Gaddafi memaafkannya. Kini, Mutassim menjadi Penasihat Keselamatan Antarabangsa Libya dan juga berkhidmat dalam Majlis Keselamatan Antarabangsa. Sebagai anak Gaddafi, Mutassim juga berkuasa untuk mempunyai angkatan tenteranya sendiri dan beberapa tahun kebelakangan ini, bapanya sering memberi kepercayaan kepadanya dalam menguruskan tugas politik dan diplomatik yang penting.

Antara ketujuh-tujuh anak lelaki pemimpin Libya ini, anak kelimanya, Hannibal Gaddafi, 34, adalah yang paling ‘nakal’ dan mungkin juga paling kasar. Wajah anaknya ini sering terpampang di dada akhbar dengan laporan mengenai kehidupan mewahnya serta kesalahan undang-undang termasuk dituduh memukul teman wanitanya di sebuah hotel di Paris. Hannibal juga pernah ditahan di Switzerland atas tuduhan mendera pembantu rumah di Geneva. Beliau turut digelar raja parti, termasuk sering menjemput artis ternama Amerika ke parti dianjurkannya.

Saif al-Arab Gaddafi, putera keenam Gaddafi agak kurang menjadi tumpuan media dan tidak banyak yang diketahui mengenainya. Usia Saif juga tidak dapat dipastikan, antara 23 hingga 32 tahun namun beliau dipercayai melanjutkan pengajian di Munich, Jerman dan menjalani kehidupan mewah di situ. Pada tahun 2008, beliau ditahan polis Jerman kerana bunyi bising yang dihasilkan kereta Ferrarinya.

Dalam kekalutan yang berlaku di Libya baru-baru ini, anak ketujuh Gaddafi, Khamis, 31, seorang anggota polis yang pernah menjalani latihan khas di Russia terkorban. Khamis dikatakan bertanggungjawab atas kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Benghazi dan media melaporkan yang beliau terbunuh dalam kejadian serangan bunuh diri.

Satu-satunya anak perempuan Gaddafi iaitu Aisha al-Gaddafi, 35, berkhidmat sebagai seorang peguam. Jelitawan yang pernah menuntut di Tripoli dan Paris, adalah sebahagian kumpulan peguam bela bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein. Beliau berkahwin dengan sepupu sebelah keluarga bapanya dan mewujudkan pertubuhan kebajikan di Libya. Media Arab menggelar Aisha ‘Claudia Schiffer Afrika Utara’ kerana beliau sering mewarnakan rambutnya perang keemasan. Pun begitu, beliau jarang menampilkan diri di khalayak umum walaupun pernah dilantik sebagai duta muhibah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Begitulah meriahnya keluarga Gaddafi yang seperti pelbagai koleksi pakaiannya yang sering menjadi perhatian, kisah anak-anaknya juga menjadi tumpuan kerana bakal menyambung legasi pemimpin Libya ini. Apa yang pasti, dunia pasti terus menyoroti nasib Raja Afrika ini dan penghujung pertelingkahannya dengan Barat dan terus kekal bergelar pemimpin Libya.

Dikawal pasukan perawan

ANTARA keunikan lain Muammar Gaddafi adalah sentiasa dikelilingi kumpulan pengawal peribadi wanitanya yang digelar ‘Amazonian Guard.’ Kadangkala, mereka juga digelar biarawati untuk revolusi Gaddafi.

Sejak awal 1970-an, kira-kira 40 wanita melindungi dan segelintir daripadanya menjadi penampan tembakan yang ditujukan kepada pemimpin diktator paling lama memerintah ini.

Dilaporkan, kumpulan pengawal peribadi wanita ini sudah bersumpah taat setia kepada Gaddafi, termasuklah ikrar untuk mempertahankan dara atau perawan mereka. Apa yang pasti, kehadiran mereka bukan sekadar perhiasan semata-mata apabila seorang daripadanya maut dan dua lagi tercedera ketika melindungi Gaddafi.

Malah, walaupun pekerjaan ini berbahaya, mereka tetap setia hampir empat dekad melindungi Gaddafi.

Tidak sekadar berbekalkan kemahiran beraksi, menariknya, mereka selalu mengenakan pakaian cantik, kuku yang diwarnakan, mekap tebal serta berkasut tumit tinggi.

Selain melindungi Gaddafi, termasuk ke luar negara, mereka turut berperanan sebagai dayang apabila sering dilihat melayan pemimpin itu di meja makan.

“Mempunyai pengawal peribadi wanita adalah satu daripada perkara yang diingati mengenai Gaddafi. Sukar untuk memberi penerangan rasional mengenainya, selain daripada lumrah pemimpin itu yang mahu dilihat lain daripada lain,” kata Penganalisis Risiko Global dari Eurasia Group, Mohammed el Katiri. 

No comments:

Post a Comment