Pages

Thursday, March 31, 2011

Anggota kanan JI ditahan





JAKARTA 30 Mac - Anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) dan ejen al-Qaeda, Umar Patek (gambar) yang dikehendaki berhubung serangan bom di Bali pada 2002 ditangkap di Pakistan pada awal bulan ini.
Penangkapan militan warga Indonesia itu dipercayai boleh membantu pihak berkuasa mendapat maklumat perisikan berharga mengenai al-Qaeda dan komplot serangan akan datang.
Maklumat mengenai penangkapan Umar didedahkan oleh dua pegawai perisikan yang enggan dikenali di Indonesia dan Filipina, tetapi tidak jelas sama ada Pakistan menangkapnya tanpa dirancang atau hasil maklumat perisikan.
"Pasukan perisikan kami sedang mengesahkan maklumat itu dengan pihak berkuasa Pakistan bagi memastikan orang yang ditangkap benar-benar Umar, dan jika betul orangnya, itu berita sangat baik bagi kami," kata ketua Agensi Antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai.
Tidak ada butir lanjut mengenai kegiatan Umar di Pakistan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia berada di negara itu untuk merancang serangan dengan ketua operasi al-Qaeda menjelang hari ulang tahun ke-10 serangan 11 September, 2011 di Amerika Syarikat (AS).
Umar, 40, berketurunan Arab-Jawa dikenali oleh perkhidmatan perisikan di seluruh dunia dan dipercayai menjadi timbalan komander medan JI dalam letupan kelab malam yang membunuh 202 orang di Bali pada 2002.
AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) untuk penangkapan Umar, yang dikenali sebagai 'Arab kecil', kerana serangan yang turut membunuh tujuh warga AS itu.
Umar melarikan diri ke Filipina selepas serangan di Bali, mendapat perlindungan dan menjalani latihan dengan pertubuhan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kemudian dengan kumpulan Abu Sayyaf, kata pakar keselamatan.
Namun, dia dipercayai terus terlibat secara aktif dalam operasi JI di Indonesia dan penangkapannya di Pakistan dijangka membangkitkan persoalan bagaimana seorang militan begitu berprofil tinggi boleh melakukan perjalanan merentasi sempadan antarabangsa.
Umar adalah antara komander kanan terakhir JI yang mempunyai pengalaman luas di kem asal al-Qaeda di Afghanistan. - AP

No comments:

Post a Comment