Pages

Wednesday, March 23, 2011

Ancaman radioaktif belum reda





2011/03/23

Radiasi dikesan di Pasifik, produk makanan tercemar

TOKYO: Asap serta wap keluar daripada dua rektor loji nuklear Fukushima semalam, selepas rosak disebabkan gempa bumi dan tsunami dua minggu lalu ketika pencemaran radiasi terus membimbangkan kerana partikel radiasi dikesan di laut manakala bayam dan susu juga tercemar. 

Krisis nuklear paling teruk di dunia sejak 25 tahun lalu berlaku di kawasan terletak 240 kilometer utara Tokyo berikutan gempa bumi kuat dan tsunami pada 11 Mac mengakibatkan 21,000 nyawa melayang atau hilang.
Juruteknik di zon pengosongan di loji Fukushima Daiichi, timur laut Pasifik berjaya menyambungkan kabel tenaga ke semua enam reaktor dan menghidupkan pam di salah satu reaktor untuk menyejukkan besi bahan bakar nuklear yang terlalu panas.
Agensi berita Kyodo berkata, wap keluar dari reaktor Unit 2 dan asap putih dikesan di atas reaktor Unit 3. 

Reaktor itu meletup beberapa kali dan pakar memberitahu ia mungkin disebabkan pembebasan partikel radioaktif kerana menggunakan air laut untuk menyejukkan reaktor nuklear Fukushima. 

Pengendali loji Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata asap itu kemudian bertukar wap dan ia dianggap selamat untuk terus menjalankan tugas memastikan loji dapat dikawal. 

TEPCO berkata radiasi didapati di Lautan Pasifik. Contoh air laut mendapati iodin radioaktif 126.7 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibenarkan, sementara bahan cesium pula 24.8 kali lebih tinggi, lapor Kyodo. 
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kesan radiasi lebih serius daripada jangkaan, apabila ia dijangka dihadkan dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji. 

Bagaimanapun, jurucakap WHO, Peter Cordingley, berkata tiada bukti pencemaran makanan sampai ke negara lain. 

Jepun banyak mengimport makanan tetapi negara itu juga pengeksport buah, sayur, produk tenusu dan makanan laut dengan pasaran terbesar di Hong Kong, China dan Amerika Syarikat. 

Akhbar Japan Times melaporkan Perdana Menteri Naoto Kan mengumumkan pengharaman bayam dan beberapa lagi sayur yang ditanam di Fukushima dan wilayah berjiran selepas contoh sayuran itu didapati mengandungi kadar radiasi yang melebihi tahap normal. Beliau turut menggantung penghantaran susu dari Fukushima. 

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan, Kebajikan dan Buruh mendedahkan kadar radiasi tinggi dijumpai dalam bayam dan susu yang diperoleh dari loji nuklear itu. 

Bayam yang diambil dari ladang di Hitachi, wilayah Ibaraki didapati mempunyai 54,000 becquerels iodin radioaktif satu kilogram atau 27 kali tahap yang dibenarkan, manakala 5,250 becquerels dikesan dalam sekilogram susu dari kampung Iitate, Fukushima atau 17 kali lebih tinggi daripada had biasa. 

Sehingga semalam, tiada garis panduan yang ditetapkan kerajaan berhubung tahap radiasi dalam makanan yang mencetuskan kemarahan orang ramai. – Agensi


bharian

No comments:

Post a Comment