Pages

Thursday, March 17, 2011

4 maut dalam demonstrasi di Bahrain



MANAMA 16 Mac - Empat orang terbunuh, termasuk dua anggota polis dalam perkembangan terbaru tunjuk perasaan prodemokrasi di Bahrain, hari ini.
Seorang pegawai kesihatan berkata, dua anggota polis terbunuh apabila mereka dilanggar oleh penunjuk perasaan yang memandu kereta dengan laju.
Sementara itu, beratus-ratus polis melepaskan tembakan peluru penabur dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan bagi menyuraikan demonstrasi prodemokrasi yang berkhemah di Dataran Mutiara, di sini hari ini.
Seorang ahli Parlimen pembangkang berkata, dua penunjuk perasaan mati dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden itu.
Tindakan keras itu diambil sehari selepas Raja Hamad Isa al-Khalifa, yang menerima bantuan tentera dari Arab Saudi dan Emriyah Arab Bersatu (UAE), mengisytiharkan darurat selama tiga bulan dalam usaha menyuraikan demonstrasi.
Polis tiba awal pagi dengan kereta kebal, bas dan kenderaan lain sebelum mengambil tindakan keras ke atas penunjuk perasaan terdiri daripada puak Syiah itu yang mahukan perubahan politik di negara ini.
Asap tebal dapat dilihat di dataran berkenaan selepas beberapa khemah penunjuk perasaan dibakar. Letupan juga dapat didengari dipercayai akibat tong gas yang meletup.
Tentera kemudian memasuki pusat kewangan itu bagi membersihkan sekatan jalan dibuat oleh penunjuk perasaan dan menyuraikan demonstrasi yang masih diadakan selepas pertempuran yang mengakibatkan lebih 200 orang cedera pada Ahad lalu.
Helikopter dapat dilihat terbang di atas dataran berkenaan dan tentera mengiringi jentolak ke dalam kompleks perniagaaan Financial Harbout, pusat kewangan wilayah yang menempatkan bank antarabangsa utama dan syarikat multinasional.
Seorang anggota perubatan di Sitra, yang terletak di selatan ibu negara ini berkata, lebih 200 orang menerima rawatan akibat cedera ditembak peluru penabur.
''Jumlah yang sama juga menerima rawatan kerana terkena gas pemedih mata,'' katanya. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment