Pages

Friday, February 25, 2011

Tiga bekas menteri rejim Hosni Mubarak diejek



ZUHEIR Garranah (kanan), Ahmed al-Maghrabi (kiri) dan Ahmed Ezz duduk di dalam lokap semasa menunggu kes perbicaraan mereka bermula di sebuah mahkamahdi Kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 24 Feb. - Tiga bekas anggota kanan rejim bekas Presiden Hosni Mubarak diejek oleh beratus-ratus orang yang menjerit 'pencuri' dan 'kamu merompak wang kami' apabila mereka dihadapkan ke mahkamah semalam untuk menghadapi tuduhan rasuah.

Tiga bekas pegawai tinggi yang hadir di Mahkamah Jenayah Kaherah semalam ialah bekas Menteri Perumahan, Ahmed Maghrabi, bekas Menteri Pelancongan, Zuheir Garana dan jutawan keluli, Ahmed Ezz yang merupakan anggota kanan parti pemerintah.

Mereka memakai pakaian banduan dan duduk di dalam kandang besi sementara seorang hakim mengeluarkan perintah membekukan harta mereka.

"Saya tidak mahu dijadikan kambing hitam. Saya tidak bersalah," teriak Maghrabi dari kandang pesalah.

Ezz dan Garana turut mendakwa mereka tidak bersalah.

Ketiga-tiga mereka, yang menghadapi pelbagai tuduhan termasuk pengubahan wang haram, menyalahgunakan kuasa dan menghabiskan kekayaan negara adalah antara kira-kira 12 bekas menteri dan ahli perniagaan yang sedang disiasat.

Penunjuk perasaan yang menyingkirkan Mubarak selepas 18 hari mengadakan tunjuk perasaan menentang rejimnya, sering kali membangkitkan rasuah meluas dalam kerajaannya sebagai pendorong utama di sebalik pemberontakan mereka.

Kemarahan rakyat terhadap bekas anggota kanan rejim Mubarak begitu ketara, semalam.

Semasa kenderaan yang membawa Maghrabi, Garana dan Ezz lalu di jalan-jalan di Kaherah menghala ke mahkamah, berpuluh-puluh kereta mengekorinya sambil membunyikan hon dan penduduk berteriak 'itu dia pencuri'.

Apabila mereka tiba di mahkamah, lebih 500 orang yang menunggu di luar menjerit ke arah mereka, 'pencuri' dan 'kamu merompak wang kami'. - AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment