Pages

Sunday, February 6, 2011

Tak serik kembali ke Mesir semula



  • Foto
    PELAJAR Malaysia dibantu anggota tentera menyusun bagasi dan menunggu giliran untuk menaiki pesawat TUDM C130 yang memuatkan kira-kira 200 orang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir untuk ke Jeddah.
  • Foto
    AHLI Kelab Putera 1Malaysia dengan bantuan beberapa pelajar Universiti di Kaherah mengagihkan bekalan makanan kepada pelajar Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, kelmarin.
  • Foto
    PELAJAR Malaysia beratur untuk mendapatkan nasi lemak yang disediakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, kelmarin.
  • Foto
    PUTERA Tazreenudin Tajudin dipeluk neneknya, Jamilahbe Kadar Bacha selepas tiba di KLIA dengan menaiki penerbangan Emirates.
  • Foto
    PANGLIMA Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud (kanan) bersama Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Ackbal Abdul Samad memberi penerangan mengenai Operasi Piramid di Kem TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.
Ramai pelajar mahu sambung pengajian selepas keadaan reda

SEPANG: Kebanyakan daripada 11,300 pelajar Malaysia yang terpaksa pulang ke tanah air akibat pergolakan politik di Mesir berhasrat kembali semula ke negara berkenaan untuk menyambung pengajian selepas keadaan pulih.Pelajar tahun pertama jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Aryaa Eeleena Kamarul Lizham, 19, berkata walaupun terpaksa mengharungi pelbagai pengalaman ngeri, insiden terbabit tidak pernah melunturkan semangatnya untuk meneruskan pengajian di Mesir.
“Hidup di Mesir memang mencabar, kita hanya perlu berhati-hati. Saya selalu lihat kejadian gaduh guna parang, baling botol dan pijak kepala, tapi itu perkara biasa di Mesir, sebab itu saya tak serik untuk meneruskan pengajian di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Sementara itu, Aryaa Eeleena, berkata dia berjaya mendapatkan tiket penerbangan Etihad Airways melalui sebuah syarikat ejen pelancongan dengan harga RM3,500, meningkat dua kali ganda untuk perjalanan sehala sebelum tiba di tanah air jam 2 petang semalam.

Seorang lagi pelajar Malaysia, Siti Najwa Khamsul, 19, dari Paka, Terengganu, bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air dan tidak diganggu perusuh ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang sambil mengakui tidak serik untuk kembali semula ke negara itu selepas kekacauan berakhir. 

Bagi pelajar Universiti Al-Azhar, Putera Tazreenudin Tajudin, 24, yang tiba di KLIA bersama 30 pelajar lain menaiki pesawat Emirates Airlines dari Dubai, hasratnya adalah untuk menyambung pengajian dalam bidang al-Quran diikutinya apabila keadaan di Mesir pulih seperti biasa dan tidak patah semangat dengan pergolakan yang berlaku. 
Di MUAR, pelajar perubatan Universiti Iskandariah, Norsyamimi Shafiee, 20, dari Parit Kassim, Jalan Temenggong Ahmad, di sini, berkata dia tidak mampu menahan sebak sebaik bertemu bapanya, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Pejabat Tenaga Kerja Muar, Shafiee Mohd Noh, 51, yang menunggu di KLIA.

Anak kedua daripada enam beradik itu bersama enam rakan berlepas dari Lapangan Terbang Iskandariah menggunakan pesawat Qatar Airways dan tiba di KLIA jam 8.40 pagi semalam, bersyukur kerana berjaya ke lapangan terbang dan meninggalkan penderitaan di Mesir, termasuk hanya memakan roti dan mi segera selama beberapa hari.

“Pada hari pertama rusuhan 29 Januari lalu, saya baru selesai kertas terakhir peperiksaan semester Januari. Esoknya, rangkaian internet dipotong menyebabkan saya tak dapat menghubungi keluarga di tanah air,” kata pelajar tajaan MARA itu yang menyewa sebuah rumah di Mesir bersama enam rakan dari Kuala Lumpur, Kuantan dan Melaka.

“Saya hanya mampu berdoa dan berharap rusuhan akan reda, di samping menunggu bantuan terutama dari Kerajaan Malaysia bagi membawa kami pulang ke tanah air. Kami bernasib baik kerana banyak dibantu pegawai MARA di sana,” katanya yang memperoleh tiket penerbangan dibeli bapanya pada harga RM3,719 sehala. 

No comments:

Post a Comment