Pages

Monday, February 14, 2011

Senduk kayu ketuk kepala pak belang



PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.
PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.



BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.
BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.

IPOH: “Harimau itu cuba membaham kepala dan leher tetapi saya memberanikan diri menumbuk kepalanya dengan tangan kanan manakala tangan kiri mencekup mulutnya,” kata Tambun Gediu, 60, lelaki Orang Asli yang cedera diserang harimau di hutan berdekatan rumahnya, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Grik itu, mangsa yang diserang harimau belang seberat antara 80 dan 90 kilogram itu cedera di kepala, muka, leher, belakang badan dan kedua-dua lutut.

Tambun yang ditemui di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, ketika kejadian, dia sedang merangkak sambil menyumpit seekor tupai di hutan berdekatan rumahnya sebelum menyedari harimau tiba-tiba muncul dari belakang dan cuba menerkamnya.

Terkejut dengan kemunculan harimau itu, dia lari menyelamatkan diri dan memanjat pokok berdekatan, namun haiwan berkenaan sempat menerkam kakinya menyebabkan dia terjatuh sebelum diserang dan dicakar.

Ketika itu, dia mampu melengahkan haiwan itu itu daripada mencederakannya dengan menumbuk dan menggenggam mulut harimau itu sambil menjerit meminta tolong.

“Nasib baik isteri saya (Han Besou, 50) mendengar jeritan saya kerana rumah kami tidak jauh dari situ. Isteri saya datang dan mengetuk kepala serta badan harimau itu dengan senduk kayu menyebabkan haiwan itu beredar,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Tambun dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Grik (HG) kira-kira jam 8.45 malam kelmarin, 12 jam selepas kejadian itu.

Beliau berkata, luka dalaman dialami mangsa di lutut kanan dan kiri menyebabkan dia dipindahkan ke HRPB semalam bagi rawatan lanjut.

“Kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) mengambil masa agak lama mengeluarkan mangsa bagi mendapatkan rawatan berikutan keadaan perkampungan itu jauh terpencil di pedalaman.

“Mangsa dibawa menggunakan bot dari perkampungan itu ke Jeti Awam Banding sebelum dikejarkan ke HG,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika ditemui selepas melawat Tambun mangsa semalam berkata, lelaki itu dalam keadaan stabil dan baru selesai menjalani pembedahan di lutut.

“Mangsa juga akan menjalani proses rawatan lanjut bagi membersihkan luka dialami akibat diserang harimau itu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Shariff berkata, pihaknya menghantar kakitangan ke kampung berkenaan bagi membuat pemantauan dan mengesan jejak haiwan itu.

Menurutnya, perkampungan itu berdekatan dengan kawasan Hutan Belum dan tidak mustahil haiwan terbabit muncul di kawasan berdekatan kerana ia sebahagian habitatnya.

“Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan itu dan menasihati penduduk setempat lebih berhati-hati terutama ketika memburu di hutan,” katanya.myMetro | Senduk kayu ketuk kepala pak belang

No comments:

Post a Comment