Pages

Monday, February 28, 2011

Sekatan perjalanan ke atas Gaddafi



GENEVA 27 Feb. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap rejim Muammar Gaddafi selain berhadapan siasatan jenayah kemanusiaan berhubung pertumpahan darah yang dikaitkan dengan pemimpin Libya itu.
Undi sebulat suara oleh badan dunia dianggotai 15 negara itu yang dibuat pada mesyuarat malam tadi itu turut menggesa supaya sekatan senjata dikenakan ke atas Libya secepat mungkin.
Menurut PBB, lebih 1,000 orang telah terbunuh dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh pengikut setia Gaddafi di Libya.
Majlis Keselamatan PBB turut membuat tuntutan baru supaya serangan ke atas orang awam dihentikan dengan segera, yang dilapor dicetuskan oleh pemimpin Libya ‘peringkat tinggi’.
Larangan perjalanan dan pembekuan dalam Resolusi 1970 akan dikenakan terhadap pemimpin veteran Libya itu, tujuh orang anak lelakinya, anak perempuannya Aisha, beberapa anggota keluarganya, pegawai pertahanan dan perisikan tinggi lain yang dituduh memainkan peranan dalam pertumpahan darah di negara itu.
Terdapat 16 nama dalam senarai sekatan itu selepas ditapis daripada 22 orang sebelum ini ketika mesyuarat semalam.
Tuduhan menyebabkan pertumpahan darah akan dirujuk ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana serangan yang sistematik dan berleluasa ke atas rakyat yang kini berlaku di Libya adalah jenayah kemanusiaan.
Di bawah resolusi itu juga, penjualan senjata ke Libya perlu dihentikan segera. Resolusi itu turut menggesa Libya membenarkan kemasukan bekalan kemanusiaan dan pemantau hak kemanusiaan untuk melindungi rakyat asing.
“Langkah ini adalah ‘isyarat penting’ menunjukkan masyarakat antarabangsa menyokong rakyat Libya dan menentukan masa depan mereka,” kata duta Britain ke PBB, Mark Lyall Grant.
Wakil dari Afrika Selatan, Baso Sangqu berkata, satu dunia terkejut dengan ‘kekejaman’ di negara utara Afrika itu.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam menegaskan Gaddafi perlu ‘meletak jawatan sekarang’ kerana telah kehilangan kelayakan untuk memerintah.
Sehari sebelum itu, Obama secara peribadi mengenakan sekatan ke atas Gaddafi dan empat anak lelakinya, dalam percubaan jelas untuk melemahkan rejim itu yang semakin goyah dan menghukum tindakan ganas pemimpin veteran itu ke atas rakyat Libya. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment