Pages

Monday, February 28, 2011

Perdana Menteri Tunisia berundur




Perusuh melarikan diri semasa bertempur dengan pasukan keselamatan yang didakwa melepaskan tembakan ke udara di pusat bandar Tunis, kelmarin. - Reuters


TUNISIA 27 Feb. - Perdana Menteri Tunisia, Mohamed Ghannouchi meletakkan jawatannya hari ini, ketika keganasan sedang berlaku di negara Afrika Utara tersebut.
Ghannouchi, 69, dikritik hebatkerana kelemahan pimpinannya ketika pemerintahannya bersama presiden Zine El Abidine Ben Ali yang tersingkir daripada pemerintahan kerana kebangkitan rakyat.
Walaupun Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu, Ghannouchi yang berkhidmat selama 11 tahun sebagai Perdana Menteri berjanji untuk tetap memerintah negara itu sehingga pilihan raya yang dijangka diadakan pada musim panas ini.
Ghannouchi mengumumkan peletakkan jawatannya di rangkaian televisyen dan radio tempatan sehari selepas empat orang penunjuk perasaan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pihak polis.
Empat mangsa itu terkorban dalam satu pertempuran melibatkan pasukan keselamatan dan kumpulan perusuh di tengah Tunisia semalam, kata pegawai Kementerian Dalam Negara kepada Reuters.
Pegawai tersebut yang enggan dikenali menjelaskan, pertempuran itu menyebabkan 12 orang mengalami kecederaan dan ia terjadi selepas rusuhan dicetuskan penyokong setia bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali.
"Seramai 100 perusuh telah ditangkap dan mereka mengaku dipaksa oleh bekas pegawai Ben Ali. Ada di antaranya memberitahu mereka dibayar untuk melancarkan rusuhan tersebut," kata pegawai itu.
Sebelum ini, seorang saksi Reuters menyaksikan tentera Tunisia melepaskan tembakan ke udara dan menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal perusuh yang membawa kayu dan memecahkan cermin tingkap kedai berhampiran Stesen Barcelona, Tunis.
Kadar jenayah di negara Afrika Utara itu naik mendadak sejak satu pemberontakan yang menggulingkan Ben Ali tercetus 14 Januari lalu dan pegawai keselamatan sering berkata, penyokong beliau cuba untuk memporak-perandakan keadaan.
Pertempuran tersebut berlaku selepas satu protes secara besar-besaran diadakan pada malam Jumaat lalu bagi menentang pembentukan kerajaan sementara oleh Ben Ali.
Semasa protes tersebut, pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan ke udara untuk mengawal perusuh yang membakar tayar dan membaling batu.. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment