Pages

Saturday, February 19, 2011

Penunjuk perasaan berpesta di Mesir



      Foto
      Ribuan penunjuk perasaan berpesta diMesir


























    Masih rai kejayaan tumbang Mubarak

    KAHERAH: Puluhan ribu rakyat Mesir sekali lagi membanjiri Dataran Tahrir di tengah-tengah ibu negara semalam bagi menunaikan solat Jumaat dan meraikan kemenangan menjatuhkan pemimpin kuku besi Hosni Mubarak seminggu lalu.




    Kumpulan yang mencetuskan pemberontakan 18 hari yang membawa kepada kejatuhan presiden yang memerintah hampir 30 tahun itu menggelar perhimpunan semalam ‘Jumaat Kemenangan dan Kesinambungan Perjuangan.’
    Ulama terkenal Mesir Sheik Youssef el-Qaradawi mengimamkan solat itu dan mengisytiharkan ‘yang batil tidak boleh mengalahkan yang hak.’

    “Saya mengucapkan tahniah kepada remaja negara ini. “Mereka yakin akan menang akhirnya.

    “Namun revolusi ini belum berakhir sehingga kita saksikan Mesir yang baru,” katanya.

    Orang ramai mula membanjiri dataran bersejarah yang menjadi medan penunjuk perasaan sebelum ini, beberapa jam sebelum solat bermula walaupun jalan masuk utama disekat jip tentera.
    Suasana di dataran agak meriah dengan pancaragam tentera berkawad memasuki dataran yang dipenuhi orang awam. Beberapa penjaja menjual trumpet vuvuzela yang terkenal dengan bunyi bingit ketika Piala Dunia diadakan di Afrika Selatan tahun lalu.

    “Kami datang ke sini kerana berasa tidak sabar melihat Mesir baru,” kata Ashraf Abdel-Azim, 48, yang datang bersama isterinya, Nadwa dan anak lelakinya, Ahmed berusia 9 tahun.

    “Kami mahu kebebasan dan perubahan dan bangga dapat melihatnya sendiri,” katanya.

    Nizar Mohammad, isterinya Rasha dan tiga anak mereka mengecat muka masing-masing dengan warna bendera Mesir, merah, putih dan hitam.

    “Kami mahu anak-anak kami melihat di mana peristiwa bersejarah ini berlaku,” kata Rasha.

    Di sebuah sudut dataran besar itu satu tugu peringatan 365 orang awam yang terkorban sepanjang tunjuk perasaan dibina, dengan orang ramai meletakkan bunga dan merakam gambar foto mereka yang terkorban.

    Walaupun sambutan berkenaan diadakan, keadaan di Mesir masih lagi belum stabil berikutan tindakan pekerja menuntut gaji yang lebih tinggi dan kebimbangan tentera yang mengambil alih kuasa tidak menepati janji untuk membawa perubahan.

    Wael Hassan, seorang doktor gigi berusia 32 tahun yang terbabit dalam bantahan dan menyaksikan pertempuran di antara penunjuk perasaan dan penyokong Mubarak pada 28 Januari lalu, berkata perhimpunan semalam bukan semata-mata satu majlis meraikan kemenangan.

    “Ia lebih menjadi peringatan kepada tentera dan kerajaan bahawa kami masih membantah dan tidak akan berhenti selagi kerajaan awam dan bukan kerajaan dilantik Mubarak memerintah,” katanya merujuk kepada kerajaan peralihan yang mengandungi anggota rejim Mubarak. – AP
    Berita Harian Online | Penunjuk perasaan berpesta di Mesir





    No comments:

    Post a Comment