Pages

Friday, February 25, 2011

Operasi minyak di Libya dihenti


NEW YORK 24 Feb. - Operasi pengeluaran minyak di Libya mula terhenti secara perlahan-lahan semalam ekoran syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negara itu menutup kemudahan mereka selepas tunjuk perasaan di negara itu berterusan.

Eni, syarikat dari Itali yang merupakan firma minyak terbesar di Libya dan firma minyak dari Sepanyol, Repsol berkata, mereka telah menggantung beberapa operasi pengeluaran mereka di negara itu.

Syarikat minyak Total dari Perancis, BASF dari Jerman dan OMV dari Australia turut menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan atau menghentikan pengeluaran di negara di utara Afrika itu.

Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilaporkan telah mengarahkan perkhidmatan keselamatan untuk mensabotaj kemudahan minyak, menurut Time Magazine, semalam.

Menurut Eni, saluran paip bawah Laut Mediterranean dari Libya ke Itali yang membekalkan 10 peratus gas ke negara Eropah itu turut telah dihentikan.

Sementara itu, beberapa buah negara sedang berusaha mengeluarkan rakyat mereka dari negara bergolak itu.

Sebuah pesawat milik Ireland mendarat di Tripoli semalam untuk membawa pulang rakyat Ireland di Libya, tetapi dihalang pengawal keselamatan Libya.

Menurut Kementerian Luar Ireland, pesawat tersebut kemudian terbang pulang ke Malta setelah berada selama empat jam di sana.

Kedutaan China di Libya pula berusaha menguruskan pemindahan rakyatnya di negara itu menerusi udara, laut dan darat hari ini. Penerbangan pemindahan pertama dijangka tiba di China, hari ini.

Kedutaan China di Tunisia berkata, kedutaan tersebut menguruskan 30 buah bas untuk memindahkan seramai 2,900 rakyat China yang terkandas di pusat pemeriksaan sempadan Ras Jedir dan akan membawa mereka ke Girba, sebuah kawasan peranginan di Tunisia, sebelum membawa mereka pulang menggunakan pesawat.

Sementara itu, pejabat Luar Negara Britain memberitahu bahawa sebuah pesawat dijadual tiba di Tripoli hari ini untuk memindahkan kira-kira 300 rakyatnya di Libya dan pesawat kedua akan tiba tidak lama lagi. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment