Pages

Sunday, February 27, 2011

Obama kenakan sekatan ke atas aset Gaddafi



WASHINGTON 26 Feb. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam secara peribadi mengenakan sekatan ke atas Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan empat anak lelakinya, dalam percubaan jelas untuk melemahkan rejimnya yang semakin goyah dan menghukum tindakan ganas pemimpin veteran itu ke atas rakyat Libya.
Obama menggunakan kuasanya sebagai Presiden dalam arahan eksekutif untuk merampas semua aset milik Gaddafi dan empat anak lelakinya iaitu Ayesa, Mutassimi, Seif al-Islam dan Khamis di AS dan di luar AS yang berada di bawah naungan institusi kewangan AS.
Kata Obama, maruah rakyat Libya sebagai manusia tidak boleh dinafikan.
Washington juga menutup kedutaannya di Tripoli, memberi amaran pengintip AS sedang mencari bukti 'kekejaman' di Libya dan menyifatkan Gaddafi sudah kehilangan kepercayaan rakyatnya sendiri, dalam kenyataan yang menggambarkan AS mahu pemimpin veteran itu disingkirkan.
Pegawai berkata, sekatan AS itu bertujuan untuk mencegah aset dan kekayaan Libya daripada digelapkan oleh Gaddafi dan anak-anaknya.
Obama mengambil tindakan itu menjelang sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menimbangkan sekatan multilateral ke atas kerajaan Gaddafi.
"Kerajaan Gaddafi telah melanggar norma-norma antarabangsa dan tatasusila dan mesti dipertanggungjawabkan.
"Sekatan itu ditujukan terhadap kerajaan Gaddafi sambil melindungi aset rakyat Libya," ujar Obama.
Libya dan para pemimpinnya disyaki menyimpan berbilion-bilion dolar dalam akaun bank asing, wang tunai yang kebanyakannya hasil kekayaan minyak negara itu.
Menurut mesej daripada Kedutaan AS di Tripoli pada tahun lepas, diperoleh oleh WikiLeaks, dana kekayaan negara Libya mengandungi wang tunai berjumlah AS$32 bilion (RM99.2 bilion) manakala 'beberapa bank AS masing-masing mengurus dana berjumlah AS$300 juta (RM930 juta) hingga AS$500 juta (RM1.55 bilion)'. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment