Pages

Thursday, February 17, 2011

'Mak maafkan Yah'



Oleh Hamzah Osman 
bhnews@bharian.com.my
2011/02/17

NOR Saidi memerhatikan Dayah (kanan) bercakap melalui telefon dengan  Nooriah (gambar kecil), di rumahnya, di Langkawi, semalam.
NOR Saidi memerhatikan Dayah (kanan) bercakap melalui telefon dengan Nooriah (gambar kecil), di rumahnya, di Langkawi, semalam.
Mangsa cinta Lombok tak sabar mahu pulang 

LANGKAWI: Nooriah Abdullah, 30, yang dilaporkan lari mengikut seorang lelaki ke Mataram, Lombok, Indonesia sejak 13 tahun lalu kini tidak sabar untuk pulang ke tanah air kerana terlalu rindukan keluarga, terutama ibunya.
Nooriah menyatakan perkara itu selepas berpeluang bercakap menerusi telefon dengan ibunya, Dayah Sibun, 64, hasil bantuan Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi di rumahnya Kampung Bohor Tok Ad, di sini, semalam.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu dilaporkan ditemui sepasukan perisik yang dihantar Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sebuah kampung terpencil di Cakranegara, Mataram, Lombok. 

Nooriah yang meninggalkan rumahnya di sini ketika berusia 17 tahun, berkahwin dengan seorang lelaki penduduk asal pulau berkenaan dan dikurniakan dua anak berusia 12 dan 8 tahun. 

Kisah Nooriah pernah dilaporkan Berita Harian pada 1 Februari lalu apabila ibunya, Dayah tampil meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki dan membawa anak perempuannya yang dilarikan lelaki Lombok supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga. 

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Nor Saidi Nanyan menggerakkan jawatankuasanya sehingga Nooriah berjaya dikesan dengan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO diterajui Datuk Muhammad Khairun Aseh. 
Semalam, Nor Saidi bersama 10 ahli jawatankuasanya mengunjungi semula rumah Dayah untuk memaklumkan khabar gembira berkenaan, selain memberi peluang ibu tunggal itu bercakap sendiri dengan anaknya di Lombok. 

“Mak dah maafkan Yah (Nooriah). Kakak, abang dan adik-adik sedang tunggu kepulangan Yah. Baliklah cepat, mak rindu sangat dan selalu mimpi Yah saja setiap malam,” kata warga emas itu teresak-esak ketika bercakap menerusi telefon dengan Nooriah di depan wakil media di sini. 

Dayah berkata, dia dan ahli keluarga menerima kepulangan anaknya itu dengan hati yang terbuka. 

“Saya akan adakan kenduri sebaik Nooriah pulang ke sini. Terima kasih kepada semua yang membantu dan saya difahamkan Nooriah akan pulang dalam tempoh sebulan lagi,” katanya. 

No comments:

Post a Comment