Pages

Wednesday, February 2, 2011

Israel bimbang kesan kacau-bilau di Mesir

Hubungan dua negara dalam bahaya jika puak militan campur tangan
BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, semalam berkata kebimbangan utama negaranya perihal krisis yang kini tercetus di Mesir ialah kemungkinan ia boleh mewujudkan satu ruang yang membolehkan campur tangan kumpulan militan dan membahayakan hubungan aman yang dijalin antara kededua negara itu sejak berdekad-dekad lamanya.
Di satu sidang akhbar bersama pemimpin Jerman, Canselor Angela Merkel, Perdana Menteri Israel itu berkata satu kumpulan militan Islam yang tersusun boleh mengambil alih di Mesir dalam keadaannya yang kacau-bilau sekarang.'Ia sudah terjadi. Ia sudah terjadi di Iran,' tegasnya.'Satu pengambilalihan kuasa oleh rejim-rejim fahaman pelampau Islam yang melanggar hak asasi, menghancurkannya menjadi debu... dan sejajar dengan itu juga menjadi satu bahaya besar terhadap keamanan dan kestabilan,' kata beliau.Ia merupakan kenyataan Encik Netanyahu yang paling berterus terang mengenai krisis di Mesir yang bimbang kemantapan di sana dan rantaunya boleh terjejas.Sebelum itu, Encik Netanyahu hanya berkata beliau 'mengikuti dengan cemas' suasana tersebut sedang Israel menekankan komitmennya kepada perdamaian dengan Kahirah.Mesir menjadi negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979, dan terus menghormatinya sehingga kini.Presiden Hosni Mubarak menjalin hubungan rapat dengan para pemimpin Israel dan telah bertindak sebagai 'jambatan' antara Israel dengan Palestin serta Dunia Arab umumnya.Cik Merkel juga melahirkan kebimbangannya mengenai suasana yang semakin buruk di Mesir.'Dialog amat perlu. Kebebasan berfikir perlu. Menangani pembantah secara aman juga perlu,' kata beliau.Cik Merkel dan sembilan anggota kabinetnya berada di Israel bagi satu sesi khas bersama, yang menonjolkan hubungan kukuh kededua negara itu enam dekad selepas peristiwa Holokus, apabila puak Nazi Jerman membunuh enam juta orang Yahudi.Sesi semalam adalah yang ketiga dalam pertemuan tahunan antara dua negara tersebut sejak kededua pihak menandatangani satu perjanjian khas.Encik Netanyahu berkata adalah penting buat masa ini rundingan damai Israel-Palestin dimulakan.Beliau menekankan bahawa pejabat Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, terletak hanya beberapa kilometer dari pejabatnya, sambil membayangkan peranan orang tengah tidak perlu.Rundingan itu gagal tiga minggu lalu selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, memulakannya semula September lalu akibat pertikaian mengenai kerja pembinaan di kawasan petempatan Israel di Tebing Barat. -- AP.

No comments:

Post a Comment