Pages

Sunday, February 13, 2011

Belum berakhir





2011/02/13

PENDUDUK tempatan membantu membersihkan sekitar Dataran Tahrir, di Kaherah selepas tunjuk perasaan berakhir, kelmarin.
PENDUDUK tempatan membantu membersihkan sekitar Dataran Tahrir, di Kaherah selepas tunjuk perasaan berakhir, kelmarin.
  • Majlis Tentera Mesir didesak tunai tuntutan rakyat


  • Revolusi Kaherah jangkiti Algeria, Yaman
    KAHERAH: Setelah rakyat Mesir meraikan kejayaan 'revolusi rakyat' dengan tumbangnya Presiden Hosni Mubarak malam kelmarin, pemerintah tenteranya yang mengambil alih sementara pentadbiran berjanji membawa negara Arab itu beralih kepada kerajaan awam dipilih rakyat yang akan membina negara bebas dan demokratik. Kenyataan itu dibalas oleh aktivis prodemokrasi untuk kekal berhimpun di dataran Tahrir bagi memberi tekanan kepada Majlis Tentera supaya benar-benar melaksanakan tuntutan yang dibuat oleh rakyat.

    Dalam satu kenyataan yang dibaca menerusi televisyen semalam, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera itu berkata barisan Kabinet dilantik bekas presiden Mubarak akan dikekalkan sehingga kerajaan baru ditubuhkan.

    "Kerajaan dan gabenor sedia ada diminta terus mengendalikan pentadbiran sehingga kerajaan baru ditubuhkan," menurut kenyataan dibaca seorang pegawai kanan tentera itu. Kenyataan itu dibuat sehari selepas Mubarak meletak jawatan dan melepas kuasa kepada tentera berikutan desakan rakyat dalam tunjuk perasaan besar-besaran sejak 18 hari lalu.

    Majlis tentera dipengerusikan panglima angkatan tentera, Fil Marsyal Mohammed Hussein Tantawi itu, berkata ia akan menghormati semua perjanjian yang dimeterai Mesir, satu berita yang akan melegakan negara Yahudi itu dan Amerika Syarikat.
    "Republik Arab Mesir komited terhadap semua obligasi dan perjanjian serantau dan antarabangsa yang dimeterainya," kata kenyataan itu.

    Perjanjian itu termasuklah perjanjian damai 1979 dengan Israel.

    Majlis tentera sebelum ini turut dijangka akan menggantung kedua-dua dewan parlimen dan mentadbir negara dengan mengekalkan ketua mahkamah agung perlembagaan.

    Tentera dijangka akan hanya mentadbir negara untuk tempoh beberapa bulan saja dengan pilihan raya presiden dijadualkan September ini.

    Majlis tentera itu juga dijangka akan meneruskan dialog dengan parti pembangkang dan kumpulan penunjuk perasaan yang dimulakan oleh bekas naib presiden Omar Suleiman minggu lalu.

    Sementara itu, dalam dua kenyataan semalam, kumpulan penganjur tunjuk perasaan itu menuntut perintah darurat yang digunakan Mubarak sejak berpuluh tahun lalu untuk menindas suara bantahan ditarik balik.

    "Kenyataan Rakyat No 1 menuntut Kabinet Mubarak dilantik pada 29 Januari dipecat dan Parlimen yang dipilih pada pilihan raya tercemar tahun lalu dibubarkan," kata kumpulan aktivis itu.

    Kumpulan itu mahu majlis presiden lima anggota dengan penyertaan empat orang awam dan seorang wakil tentera bagi membuat persediaan untuk pilihan raya parlimen dalam tempoh sembilan bulan.

    Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan dilaporkan masih berhimpun Dataran Tahrir di sini menyambut kemenangan mereka menumbang Mubarak yang memerintah secara kuku besi sejak hampir 30 tahun lalu.

    Pekerja yang sebelum ini bertindak mengadakan mogok sudah mula bertugas semula dengan pelabuhan beroperasi seperti biasa dan bursa saham Mesir dijangka dibuka semula Rabu ini. - Reuters/Agensi


  • No comments:

    Post a Comment