Pages

Sunday, February 20, 2011

8 negara Arab bergolak





2011/02/20

KOMBINASI gambar menunjukkan protes anti-Gaddafi di Tripoli.
KOMBINASI gambar menunjukkan protes anti-Gaddafi di Tripoli.
Libya paling serius selepas 84 terbunuh protes tiga hari

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lapan negara Asia Barat berhadapan dengan bantahan anti kerajaan dalam apa yang disifatkan sebagai gelombang baru di rantau Arab mendesak sistem demokrasi.

Kira-kira seminggu selepas penyingkiran Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang diraikan beribu-ribu penduduk Kaherah di Dataran Tahrir, Libya pula menyaksikan sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh sejak bantahan bermula tiga hari lalu di negara timur Afrika Utara yang diperintah Muammar Gaddafi selama empat dekad itu.
Angka kematian berkenaan adalah seperti didakwa badan pemantau hak asasi Human Right’s Watch.
Anggota keselamatan khas Libya semalam dilaporkan melakukan serbuan di Benghazi bandaraya kedua terbesar di negara itu yang menjadi tempat tumpuan penunjuk perasaan awal semalam dalam usaha meleraikan demonstrasi mendesak pengunduran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi memerintah sejak 42 tahun lalu.

Perkhidmatan internet juga dilaporkan diputuskan kira-kira jam 2 pagi sebagai usaha menghalang penyampaian maklumat di kalangan penduduk negara itu mengenai gelombang anti kerajaan yang turut melanda negara berkenaan.

Kira-kira jam 5 pagi, pasukan keselamatan khas menyerang beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk peguam dan hakim yang berkumpul di hadapan bangunan mahkamah di bandar raya timur Benghazi yang menjadi tumpuan bantahan.

“Mereka menyembur gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dalam khemah dan membersihkan kawasan selepas ramai yang melarikan diri menyebabkan ada yang maut dan cedera,” kata seorang penunjuk perasaan melalui telefon.
“Ini adalah bandar hantu, kami semua bimbang sesuatu besar akan berlaku di Benghazi hari ini.”

Kira-kira 20 keranda dibawa ke sebuah dataran di luar mahkamah di Benghazi petangnya sebagai sebahagian pengebumian beramai-ramai mangsa yang terbunuh dan dihadiri beribu-ribu orang.

Gaddafi dipercayai menghadapi pemberontakan popular terhebat sejak memerintah 42 tahun lalu. Negara itu mempunyai simpanan minyak yang besar, tetapi turut menghadapi masalah kemiskinan.

Diplomat Amerika Syarikat mendakwa, rejim Gaddafi sengaja tidak membangunkan kawasan timur menyebabkan ramai penduduknya menganggur dan miskin bertujuan melemahkan pembangkang di sana.

Sementara itu, di MANAMA, Bahrain, blok pembangkang Syiah utama menolak gesaan istana untuk berdialog bagi menamatkan rusuhan yang sudah meragut enam nyawa berikutan bantahan anti kerajaan di negara berkenaan.

“Tiada siapa yang bersedia untuk duduk berbincang dengan kerajaan jika tentera membunuh rakyat,” kata Ibrahim Mattar, ahli blok Wefaq yang menarik diri dari parlimen Khamis lalu.

“Kami tidak merasakan keinginan serius untuk berdialog kerana tentera masih di jalanan dan penduduk tidak dibenarkan untuk menunjuk perasaan.”

Raja Hamad bin Isa al-Khalifa kelmarin menawarkan satu dialog membabitkan semua pihak untuk menamatkan krisis yang meragut enam penduduk dan menyebabkan beratus-ratus yang lain cedera sejak bermulanya bantahan di Dataran Pearl, Isnin lalu.

Di SANAA, Yaman, bantahan anti kerajaan menyaksikan pertempuran antara penduduk dan polis pencegahan rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata dan tembakan yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 48 yang lain cedera.

Bantahan selama sembilan hari berkenaan adalah tercetus daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia, mendesak pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh yang menjadi sekutu utama Amerika Syarikat dalam menentang al-Qaida. Beliau menjadi presiden negara itu selama 32 tahun.

Di DJIBOUTI, Kementerian Dalam Negerinya menuduh penunjuk perasaan anti kerajaan melakukan keganasan dan vandalisme sehari selepas bantahan anti rejim meletus, menyaksikan pertempuran dengan polis.

Beribu-ribu pemuda di negara itu berarak di jalanan sejak Jumaat menuntut Presiden Ismael Omar Guelleh yang memerintah sejak 1999 meletak jawatan.

Kementerian terbabit juga menuduh penunjuk perasaan membakar kenderaan dan merosakkan beberapa balai polis.

Di ibu negara Algeria, ALGIERS, penunjuk perasaan pro demokrasi berikrar untuk mengadakan perhimpunan baru walaupun beribu-ribu anggota polis ditempatkan untuk menghalang laluan mereka sejak seminggu lalu.

Seorang bekas pemimpin kanan regim Algeria, Abdelhamid Mehri menggesa perubahan politik di negara Afrika Utara itu dalam satu surat terbuka beliau kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika yang memerintah sejak 1999.

Di AMMAN, Jordan, pertempuran membabitkan 200 penyokong kerajaan dan 2,000 penunjuk perasaan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan cedera sejak bantahan mingguan dua bulan lalu apabila pembantah mendakwa mereka diserang dengan belantan, batu dan paip.

Selain mahukan pemerintahan berperlembagaan penunjuk perasaan juga membantah kenaikan harga barangan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Di OMAN, sekurang-kurangnya 300 orang menuntut perubahan politik dan kenaikan gaji dalam bantahan aman sejak kelmarin.

Penduduk lelaki dan wanita berhimpun di Ruwi daerah komersial di ibu negara selepas solat Jumaat dan melaungkan “kami mahukan demokrasi” manakala yang lain melaungkan “gaji dan kerja lebih”.

Di KUWAIT, seramai 30 orang cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penduduk Arab yang menuntut kewarganegaraan dalam bantahan di Jahra, barat laut Kuwait City.

Seramai 50 orang ditahan selepas demonstrasi, kata sumber pasukan keselamatan manakala tunjuk perasaan hampir sama di Salibiya menarik sekurang-kurangnya 80 penunjuk perasaan. – AFP/AP/Reuters
Berita Harian Online | 8 negara Arab bergolak

No comments:

Post a Comment