Pages

Saturday, February 26, 2011

21 bayi di Baby Hatch sejak Mei



Oleh Nadia Hamid
nnadia@bharian.com.my
2011/02/26

pix_gal0
Orphan CARE berjaya urus pengambilan 20 bayi untuk keluarga angkat

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan CARE) menerima 21 bayi yang dibuang dengan purata penerimaan tiga bayi sebulan sejak penubuhan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) pada Mei tahun lalu.
Berdasarkan angka berkenaan, 20 daripadanya sudah diberikan kepada keluarga angkat masing-masing yang datang daripada pelbagai latar belakang sosial dan agama, manakala seorang lagi bayi masih menunggu untuk diserahkan kepada keluarga angkat selepas urusan dokumen pengambilan anak angkat selesai.
Setiausaha Kerja Orphan CARE, Azra Banu, berkata sehingga kini, hanya dua kes membabitkan bayi diletakkan secara sembunyi ke dalam Baby Hatch manakala, 19 bayi lain diserahkan sendiri oleh ibu kandung mahupun ahli keluarga wanita yang melahirkan anak berkenaan.

“Kebanyakan ibu muda yang ingin menyerahkan anak mereka lebih yakin sekiranya dapat bersemuka dengan pihak pengurusan bagi memastikan anak mereka dijaga dan diberi kepada pihak berwajib. Malah ada juga ibu mengandung yang berjumpa kami untuk menawarkan anak mereka selepas dilahirkan kelak.

“Berdasarkan bilangan bayi sedia ada yang diterima di Baby Hatch, 13 daripadanya adalah rakyat tempatan dengan 12 bayi berketurunan Melayu, satu berketurunan India, manakala lain-lain, Filipina (tiga), Indonesia (dua) dan Nigeria (satu),” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Baby Hatch yang julung kali diperkenalkan pada 29 Mei tahun lalu menerima bayi lelaki pertama pada 26 Jun lalu. Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram dilahirkan sehari sebelum itu dan sudah diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga.
Dalam perkembangan sama, Azra menjelaskan pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menubuhkan sekurang-kurangnya lima Baby Hatch di seluruh negara terutama utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai menyalurkan cadangan mahupun sumbangan bagi merealisasikan lebih banyak penubuhan Baby Hatch di kawasan masing-masing.

“Orang ramai boleh melayari www.orphancare.org.my untuk berkongsi idea, maklumat dan cadangan bernas bagi memperkasakan penubuhan Baby Hatch di seluruh negara.

“Mengenai maklumat peribadi ibu bapa bayi yang diserahkan, semua maklumat adalah rahsia. Bagaimanapun, ibu bapa kandung bayi berkenaan masih dibenarkan mengikuti perkembangan anak mereka dari semasa ke semasa melalui Orphan CARE,” katanya.
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment