Pages

Saturday, January 1, 2011

Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad





SANAH Ahmad menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita mengenai Ahmad Md. Isa yang ingin mencari calon isteri di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ismail kamadin


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Cinta yang hadir melalui pandang pertama di dalam akhbar telah cukup membuka ruang di hati seorang wanita warga emas menawarkan dirinya untuk berkongsi hidup dengan Ahmad Md. Isa berusia 110 tahun di Kedah.
Bagi Sanah Ahmad, 82, yang telah menjanda sejak 30 tahun lalu, hatinya terpaut dengan Ahmad dari Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, sebaik sahaja terpandang wajahnya di akhbar, kelmarin.
Menurutnya, dia yang mengetahui niat Ahmad untuk mencari calon isteri segera menyatakan hajatnya untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut kepada anak bongsunya, Sabaha Ahmad, 42.
Katanya, dia juga meminta Sabaha agar segera menghubungi keluarga pihak lelaki terbabit untuk mendapat persetujuan menjadi calon isterinya.
"Sejurus terpandang wajahnya, hati saya terpaut kerana mirip mukanya seperti arwah suami saya sebelum ini terutama di bahagian mata.
"Malah namanya juga sama iaitu Ahmad," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, di sini hari ini.
Jelas Sanah, dia bersedia menjadi isteri kepada Ahmad bagi menemaninya sepanjang hidup selain menjaga makan dan minumnya.
Kelmarin akhbar memaparkan kisah Ahmad yang menyatakan keinginannya untuk mencari calon isteri sebagai peneman hidupnya.
Menurut Ahmad, dia pernah berkahwin sebanyak lima kali dan empat daripada isterinya telah meninggal dunia dan hanya bercerai sekali dalam perkahwinannya iaitu dengan isteri kelimanya.
Sabaha pula memberitahu, pada mulanya dia menyangka ibunya berseloroh apabila menyatakan hasrat untuk berumahtangga dengan lelaki itu.
Katanya, sebelum ini ada juga yang berniat untuk mengahwini ibunya namun ditolak kerana hatinya belum terbuka.
"Itulah saya pun pelik juga bila emak melihat wajah encik Ahmad dalam surat khabar, dia terus terbuka hati," katanya.
Sabaha berkata, ibunya juga tidak kisah jika bertemu jodoh dengan Ahmad walaupun lelaki itu ada menyatakan pandangannya rabun dan pendengarannya sedikit terjejas.
"Malah, kami kesemua adik-beradik bersetuju dengan keputusan emak walaupun pada mulanya kami agak terkejut kerana menyangka emak hanya bergurau.
"Namun, kami tidak akan menghalang sekiranya ia adalah untuk kebahagiaan emak," ujarnya.
Sanah yang mempunyai sembilan anak hasil dua perkahwinan dibinanya sebelum ini telah kehilangan suami sejak 1980 lagi.
"Sejak itulah emak mula hidup keseorangan dan merasa kesunyian kerana tiada teman hidup yang menemaninya sepanjang masa.
"Jadi kalau ada jodoh antara emak dan Ahmad bolehlah diibaratkan cinta utara bertemu selatan memandangkan kami berasal dari Johor," ujarnya.

No comments:

Post a Comment