Pages

Saturday, January 22, 2011

Petanda rindu ibu



KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut  akibat tersedak bubur nasi.
KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut akibat tersedak bubur nasi.

PUCHONG: Rasa rindu seorang ibu untuk melihat bayi perempuannya yang ditinggalkan bersama pengasuh berhampiran rumahnya di Taman Putra Perdana di sini, bertukar pilu, apabila dimaklumkan bayinya itu meninggal dunia akibat tercekik bubur nasi.
Ketika menerima berita kejadian menyayat hati itu, dia masih dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsunya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Selasa lalu, ibu berkenaan, Nor Jam’atul Mohd Nordin, 31, pulang awal ke rumah untuk mengambil anak bongsunya, Nur Shazwani Izni Mazlan berusia lima bulan kerana berasa terlalu rindu untuk memeluk dan menciumnya.
Menurutnya, pada kebiasaannya, dia pulang kira-kira jam 7.40 malam, namun pada hari kematian anaknya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal kerana perasaan rindu terhadap anaknya itu terlalu kuat.

“Saya tidak menyangka perasaan rindu kepada anak bongsu pada hari kejadian terpaksa saya tanggung buat selama-lamanya apabila dia kini sudah tiada.

“Lebih menyedihkan saya tidak dapat bersama ketika saat akhirnya, malah tidak menyangka anak saya maut akibat makanan yang diberikan,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas pengasuhnya menyuapkan bubur nasi menggunakan botol susu sebelum meninggalkan mangsa bersama dua bayi lain yang turut dijaganya.

Mangsa dipercayai tercekik bubur berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, ibu malang terbabit berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, tiba-tiba pengasuh anaknya menelefon memaklumkan anak bongsunya itu mengalami kesukaran bernafas akibat tercekik selepas disuapkan bubur nasi menggunakan botol susu.

“Saya mengarahkan agar membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, pengasuh berkenaan menghantar anak saya ke klinik berdekatan dan doktor yang merawatnya mengesahkan anak sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, dia menghantar jenazah anaknya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Meranti, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

No comments:

Post a Comment