Pages

Sunday, January 2, 2011

Penjara Abu Ghraib berhantu

Foto
ANGGOTA tentera Amerika Syarikat memeriksa keadaan Penjara Abu Ghraib yang dibaik pulih pada 2003.

Foto
SEORANG penduduk Iraq berdiri berhampiran dua mayat yang baru ditemui di luar pekarangan penjara Abu Ghraib pada April 2003.


Penduduk dibayangi kisah ngeri tahanan diseksa

BAGHDAD: Penduduk yang tinggal berhampiran Penjara Abu Ghraib berkata, kisah tahanan yang pernah didera dan disiksa di penjara itu kini bagaikan satu sumpahan kepada mereka, terutama apabila khabar angin mengatakan ia kini berhantu manakala roh banduan yang mati masih berlegar di situ.Walaupun namanya sudah ditukar kepada Penjara Pusat Baghdad, anggota pengurusan sudah diganti dengan yang baru tetapi cerita ngerinya terus menghantui penduduk tempatan dan ramai masih menggelarkannya ‘rumah syaitan’ selepas ditadbir tentera Amerika Syarikat atas arahan Presiden George W Bush.
Insitut Bagi Laporan Perang dan Keamanan (IWPR) berkata kisah kekejaman di Penjara Abu Ghraib mula diketahui apabila imej dan laporan mengenai tahanan yang didera pegawai tentera Amerika dan agensi lain tersebar di seluruh dunia pada 2004.
Bukti penderaan fizikal, seksual dan psikologi membawa kepada pendakwaan ke atas 11 askar Amerika, manakala gambar yang mengejutkan menjadi lambang kekejaman pencerobohan Washington di Iraq.

Penjara Abu Ghraib diserahkan kepada pihak berkuasa Iraq pada 2006 dan dibuka semula secara rasmi pada 2009, sebagai Penjara Pusat Baghdad. Hari ini ia menempatkan seramai 4,200 banduan dan mempunyai kira-kira 900 pegawal keselamatan dan kakitangan sokongan.

Beberapa tahun selepas tersebarnya kisah penderaan itu penduduk tempatan, kebanyakannya Arab Sunnah, menyalahkan kisah ngeri di sebalik jeriji Abu Ghraib sebagai punca masalah ekonomi, sosial dan emosi penduduk di sekitarnya. 
Menurut penduduk tempatan, pendaftaran ke sekolah rendah semakin merosot, manakala 150 hektar tanah pertanian terbiar tidak diusahakan. Kira-kira 70 peratus daripada 450 buah rumah berhampiran penjara itu kini kosong. Ramai diantara mereka berkata penjara itu berhantu.

“Saya sering mentertawakan suri rumah di kejiranan saya apabila mereka berkata anak mereka mengalami mimpi buruk atau ketika mereka bercakap mengenai hantu yang mengetuk pintu dan cuba memasuki rumah dan menyebabkan dapur bersepah,” kata seorang suri rumah di daerah Abu Ghraib, Gurfan Ala.

“Bagaimanapun, anak lelaki saya yang berusia lapan tahun, Rafed mula mengadu banyak perkara pelik berlaku kepadanya. Saya memberitahu suami saya mahu berpindah ke rumah adik saya di Baghdad tetapi dia belum mengambil sebarang tindakan. Saya kerap membaca al-Quran dan bersolat untuk menenangkan diri,” katanya lagi.

Ramai ibu bapa yang bercakap dengan IWPR melahirkan kebimbangan mengenai kesihatan mental anak mereka, tidak terkecuali seorang guru sekolah, Sana Ala yang mengajar di kelas menghadap ke penjara itu.

Ala berkata kebanyakan pelajar yang pintar sudah dipindahkan ke sekolah lain manakala bilik kelasnya sering dikaitkan dengan gosip mengenai kehadiran roh dan hantu.

“Kami menampal kertas surat khabar di tingkap dan menggantikan tingkap lain dengan kaca berwarna. Kami tidak membenarkan murid pergi ke belakang sekolah kerana ia menghadap ke penjara itu,” katanya.

Reputasi Penjara Abu Ghraib juga menyebabkan ejen hartanah Ibrahim Abbas berdepan masalah dan berkata hanya 30 peratus kejiranan al-Shodana kini mempunyai penghuni, manakala mereka yang tinggal kebanyakannya pelarian atau tiada tempat lain untuk dituju.

“Jika anda mahu membeli rumah di sini, anda akan dapati penghuninya bersedia menjual rumah mereka dengan diskaun sehingga 75 peratus. Ada penduduk menyewakan rumah mereka tetapi selepas beberapa ketika penyewa berpindah kerana percaya penjara itu membawa sial kepada kawasan sekitarnya.

“Penduduk bercakap mengenai hantu dan roh yang menghuni rumah itu. Sebilangan mereka mendakwa mendengar bunyi jeritan akibat penyiksaan. Mereka percaya jeritan itu adalah suara tahanan yang disiksa dan dibunuh di Penjara Abu Ghraib,” katanya. – Agensi 
bharian

No comments:

Post a Comment