Pages

Saturday, January 8, 2011

Pembersihan jiwa – Proses kejayaan dunia akhirat

Pembersihan jiwa – Proses kejayaan dunia akhirat « Blog Peribadirasulullah

www.news-all.com (71).JPG
Oleh Mohd Nizam Sahad
KEBAHAGIAAN seseorang Muslim banyak bergantung kepada bagaimana ia menyucikan dan membersihkan jiwa raganya. Manakala kecelakaan bagi dirinya juga terjadi bilamana jiwa tidak dipelihara dan dicemari oleh perkara keji dan kotor. Allah menegaskan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams : 9 – 10).
Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua di kalangan kamu akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Sahabat bertanya: Siapa yang enggan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga dan sesiapa yang berbuat maksiat kepadaku mereka itulah yang enggan.
Kehidupan
Persoalannya sekarang, apakah itu jiwa? Menurut Kamus Dewan jiwa merupakan nyawa, roh dan unsur batin seperti perasaan, fikiran dan cita-cita yang terkandung dalam hati manusia. (1998 : 540 ). Kehidupan manusia berhubung rapat dengan jiwa. Malah segala tindak-tanduk manusia terarah dalam rangka usaha membersih dan menyucikan jiwa bagi mendapat matlamat hidup dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta mengelakkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang boleh mencemarkan jiwa. Proses pembersihan jiwa ini, haruslah menuruti beberapa langkah seperti berikut :
1. Taubat. Taubat bermaksud mengosongkan diri daripada seluruh dosa dan maksiat dan menyesal ke atas dosa-dosa lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan sepanjang umurnya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai… (At-Tahrim: 8).
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya sebanyak 100 kali sehari.
Sesungguhnya manusia biasa seperti kita, tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Apatah lagi di sekeliling kita wujud musuh-musuh Allah yang terdiri daripada syaitan dan iblis serta hawa nafsu yang sentiasa mendorong kita untuk melakukan maksiat. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bertaubat daripada kesalahan dan maksiat yang dilakukan dengan kadar segera. Taubat yang kita lakukan hendaklah secara sungguh-sungguh untuk membersihkan diri daripada segala kekotoran dosa dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi atau taubat yang dikenali dengan taubat nasuha.
2. Muraqabah. Muraqabah bererti sentiasa merasakan diri kita ini diawasi oleh Tuhan pada setiap detik dan ketika, dan berasa yakin bahawa hanya Allah s.w.t. yang berhak ditaati, Dialah yang Maha Mengetahui setiap rahsia dan perbuatan kita. Bilamana seseorang Muslim ini sentiasa menerapkan perasaan yang sedemikian dalam dirinya, maka ia akan sentiasa mengingati Allah s.w.t., berasa lapang dada kerana keyakinannya itu dan sentiasa gemar ingin berdampingan dengan Allah dengan beribadah kepada-Nya. Malah ia akan sentiasa ingat dan waspada, andai kejahatan yang dilakukan pasti Allah mengetahuinya, walaupun orang lain tidak.
Kebaikan
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Luqman : 22).
Rasulullah s.a.w. bersabda : Beribadahlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia melihat kamu.
Ulama salaf as-soleh, Sufyan as-Sauri berkata: “Hendaklah kamu bermuraqabah kepada Allah yang tidak tersembunyi daripada-Nya sesuatu pun, dan hendaklah kamu berharap kepada-Nya yang memiliki perjanjian, dan hendaklah kamu sentiasa berwaspada kepada-Nya yang memiliki seksaan.”
3. Muhasabah. Muhasabah bererti menghitung dan mengimbas kembali perlakuan kita seharian, sama ada amalan yang kita lakukan lebih cenderung ke arah ketakwaan atau lebih cenderung ke arah maksiat. Sekiranya amalan kehidupan kita berada di tahap yang dimurkai Allah s.w.t., maka segeralah memohon keampunan kepada-Nya dan bertaubat serta menyesal dan seterusnya melakukan amal kebajikan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr : 18)
Umar al-Khattab pernah berkata: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan.” Di dalam kehidupan ini, seharusnya manusia memerhatikan perihal ketaatan, kemaksiatan, faktor-faktor yang merugikan dan faktor-faktor yang menguntungkan dirinya setiap masa. Dalam perkara menghitung diri ini, ada baiknya juga seseorang individu itu mempunyai borang harian atau pertanyaan-pertanyaan diri bagi tujuan mengenal pasti kekurangan dan kelebihan diri dalam amal ibadah kepada Allah s.w.t. Andai tidak berkesempatan, memadailah bertanya diri sendiri apakah hari ini, lebih baik dari semalam dan bagaimana pula dengan hari esok? Adakah kewajipan diriku sebagai hamba Allah telah tertunai ?
4. Mujahadah. Mujahadah bermaksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu yang senantiasa memujuk rayu diri kita melakukan perkara keji dan mungkar. Allah s.w.t. menjanjikan bahawa sesiapa yang bermujahadah, maka ia akan diberi petunjuk jalan-jalan Allah. Dan Allah s.w.t. akan tetap bersama orang yang baik. Hawa nafsu yang ada pada manusia itu berupa satu cabaran kepada kekuatan iman dan pemikiran kita dalam menentukan keputusan tindakan kita. Andai jalan yang baik dipilih, maka bersihlah jiwa kita dan andai tewas dengan kemahuan hawa nafsu amarah itu, maka semakin kotorlah jiwa kita di sisi Allah s.w.t.
Sesungguhnya seorang hamba Allah itu tidak akan dapat mengawal hawa dan nafsunya sekiranya ia mengharapkan ada orang lain yang akan mengawalnya. Ia tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya ia tidak dapat mengawal hawa nafsunya. Kawalan dari dalam diri sendiri itu adalah yang terpenting, seperti pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Takwa
Selain itu, pendekatan diri dengan Allah s.w.t. adalah penting agar kekuatan dapat dibina sekukuhnya dengan wujudnya iman dan takwa setiap diri. Apabila seorang insan itu mempunyai iman dan takwa yang tertanam kukuh dalam dirinya, maka syaitan tidak akan dapat mempengaruhinya untuk mengikut kata nafsu jahat yang dapat merosakkan diri.
Dengan dua senjata inilah, seorang insan itu akan mampu mengalahkan syaitan dan hawa nafsu yang merupakan musuh utama setiap manusia yang bernyawa. Apabila kita menjadi insan yang bertakwa, maka kita tidak akan menghampiri segala jenis kekejian yang boleh merosakkan kita. Bisikan syaitan dan hawa nafsu akan dapat kita tepis. Kalau ki-ta takutkan Allah, bermaksud kita takutkan hukuman Allah, takutkan neraka Allah, takutkan seksa Allah di alam kubur dan di akhirat kelak. Apabila kita benar-benar percaya dan yakin dengan seksaan Allah, maka kita tentunya tidak akan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah.
Kesimpulannya, hendaklah kita sentiasa membersihkan jiwa dan mengawasinya daripada perkara-perkara keji dan mungkar agar kita beroleh kejayaan berupa syurga Allah yang kekal abadi. Allah s.w.t. berfirman: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” An-Naazi’at : 40 -41).


No comments:

Post a Comment