Pages

Sunday, January 23, 2011

Paderi cetus semula kontroversi





2011/01/23

FLORIDA: Paderi Terry Jones yang mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila beliau mengumumkan untuk membakar al-Quran di Gereja Gainesville, kini mahu melancarkan ‘Hari Menghakimi al-Quran Sedunia’. 

“Ya, kami akan lakukannya,” kata Jones dalam rakaman yang disiarkan menerusi YouTube ketika mengumumkan rancangan terbarunya.
“Kami sudah buat keputusan untuk melakukannya pada 20 Mac mulai jam 6 petang. Jika anda berpeluang, anda yang menggelarkan diri orang Islam yang baik, pada hari berkenaan al-Quran akan dibicarakan.
“Kami tuduh al-Quran punca pembunuhan, perogolan dan penipuan. Ia juga bertanggungjawab atas semua kegiatan pengganas di seluruh dunia. 

“Secara dasarnya, adalah perbicaraan. Hari pengadilan itu akan diadakan di Pusat Dove World Outreach. Kami cabar dunia Islam untuk mempertahankan al-Quran. 

“Mereka kata al-Quran adalah buku keamanan dan agama yang memperjuangkan keamanan. Kami mahu mereka membawa orang yang boleh mempertahankan al-Quran. 

“Jika didapati bersalah, empat jenis hukuman diadakan iaitu pembakaran, merendam, mengoyak atau skuad penembak,” katanya dalam satu program radio. 
Beliau juga memberitahu, 30 juri akan hadir termasuk penganut Kristian dan Islam, akan membuat keputusan mengenai semua dakwaan ke atas al-Quran. 

Laman web Jones, ‘Stand Up America’ mengandungi soalan yang membenarkan pengunjung memilih hukuman. 

Jones dan gereja itu menggemparkan dunia tahun lalu apabila beliau mengumumkan akan membakar 200 naskhah al-Quran, pada ulang tahun ke sembilan peristiwa serangan 11 September. 

Pemimpin pelbagai agama mengutuk rancangannya. Malah, Setiausaha Pertahanan, Robert Gates mengarahkan gereja kecil di barat laut Gainesville untuk membatalkan acara itu kerana bimbang tindakan terbabit akan membahayakan pasukan keselamatan Amerika di Asia Barat. 

Jones membatalkan hasratnya dua hari sebelum acara itu dijadualkan berlangsung. Beliau dijangka mengadakan sidang media pada petang Khamis depan untuk mengumumkan maklumat lanjut mengenai hari perbicaraan al-Quran pula. 

Paderi Dan Johnson dari Gereja Trinity United Methodist di Gainesville menjelaskan, tindakan Jones tidak mendapat sambutan kerana dalam episod pembakaran al-Quran itu, penganut Kristian datang beramai-ramai membantahnya. 

Bagaimanapun, beliau masih belum mendengar mengenai rancangan perbicaraan itu. 

“Saya berdoa dan berharap...saya tidak tahu sejauh mana kebaikannya melakukan perkara itu. Apa yang boleh dirumuskan ialah lebih banyak kerja perlu dilakukan dari aspek persefahaman dan toleransi. 

“Ini adalah kerja gila. Ini adalah sesuatu yang asing daripada apa yang diajar Jesus,” katanya. – Agensi 

No comments:

Post a Comment