Pages

Saturday, January 1, 2011

Maizawati bersyukur bayi dalam kandungan selamat


Maizawati Zainal ditemani suaminya, Mohd. Yassin Rahim di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.

IPOH 31 Dis. - Bekas isteri kepada penyanyi rock, Akhil Hayy iaitu Maizawati Zainal yang ditimpa kemalangan jalan raya pada Selasa lalu bersyukur kerana bayi yang dikandungnya selama lima bulan, selamat.
Dia yang mengandungkan anak ketujuh hasil perkahwinan ketiganya dengan Mohd. Yassin Rahim, 23, pada 9 Ogos lalu berkata, kali terakhir menjalani pengimbasan pada petang semalam, doktor mengatakan bayinya aktif dan tiada masalah.
Menurut Maizawati, kemalangan jalan raya itu berlaku apabila kereta Proton Gen2 yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kenderaan lain yang tiba-tiba meluru masuk di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
"Sewaktu kejadian pukul 5.15 pagi itu, saya tidak memandu laju. Ketika itu, saya bersama suami, serta tiga orang anak yang sedang tidur, dalam perjalanan pulang ke Bercham.
"Kami baru menghantar seorang rakan yang akan menaiki bas di Medan Gopeng pada pukul 5 pagi untuk ke Singapura pada hari tersebut," katanya ketika ditemui di Wad 4B Ortopedik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini malam ini.
Seorang anaknya, Siti Nurmaisarah Akhil Hayy, 14, mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi anaknya, Mohd. Syariff Hidayatullah Akhil Hayy, 13, dan Mohd. Syatiri Hidayatullah Akhil Hayy, 8, selamat.
Kemalangan itu menyebabkan tangan kirinya patah dan doktor terpaksa memasukkan dua plat besi melalui satu pembedahan yang dijalankan pada pukul 11 pagi ini.
Selain itu, kedua-dua kaki termasuk dahinya cedera akibat kemalangan tersebut.
"Tangan dan kepala saya amat sakit. Jari-jemari saya pun terasa kebas. Selepas kemalangan, saya pengsan dan apabila sedar, saya sudah berada di hospital.
"Perut saya pun cedera sedikit dan menyebabkan uri kandungan saya merenggang. Namun disebabkan terdapat pendarahan beku, maka ia tidak memberi kesan kepada kandungan saya," katanya.
Dalam pada itu, Maizawati berkata, keluarga abang kepada bekas suaminya sudah mengetahui mengenai kejadian tersebut dan berkirim salam kepadanya.
Sementara itu, Mohd. Yassin berkata, pada awalnya, pihak hospital tidak menyedari bahawa isterinya mengandung kerana perutnya tidak besar.
Walaupun begitu, katanya, doktor kini sedang memantau perkembangan kesihatan kandungan isterinya itu.
Perkahwinan ketiga Maizawati mendapat perhatian media apabila beliau memilih Mohd Yassin, seorang chef di sebuah restoran di Singapura yang jauh lebih muda daripadanya.

No comments:

Post a Comment