Pages

Monday, January 24, 2011

Kesihatan Fizikal vs Kesihatan Hati


Dalam segala penyakit di dunia, penyakit apakah yang pada pendapat anda sangat menyiksakan? Kanser, strok, sakit jantung kencing manis, atau sakit gigi? Ini semua penyakit yang boleh dinilai scecara fizikal, yang boleh dilakukan diagnosis untuk mengenalpastinya. Sungguh, industri perubatan mendapat pengiktirafan yang tidak terhingga oleh masyarakat dunia. Mana tidaknya, kerana ia mampu membantu pesakit menghadapi penderitaan yang Tuhan sahaja ketahui. Dengan segala peralatan canggih, kita mengorak langkah untuk membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri, aset berharga setiap manusia.
Tetapi terdapat aspek kesihatan yang patut di fikir-fikirkan… suatu keadaan kesihatan yang sukar diuji di makmal klinikal dan didiagnosis oleh para doktor, iaitu yang berkaitan dengan hati(rohani, jiwa) manusia. Ini termasuklah segala bentuk cinta dunia, sombong, risau, sedih, cemburu dan lain-lain. Bukankah manusia sering berhadapan dengannya?. Ia bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia jarang dibincangkan, atau direnungkan. Sungguh bahaya, lebih merbahaya daripada virus selsema burung atau lain-lain kerana ia bisa menjangkiti sesiapa sahaja tanpa disedari, hatta menggunakan mikroskop berkuasa tinggi sekalipun. Tetapi mungkin ia sukar dibincang kerana penghidapnya sendiri menghadapi masalah untuk menilai dan menyedari masalah ini.
“Mahasuci Engkau, tidak ada yang dapat kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan lagi Maha Bijaksana” (Al-Baqarah- 32)
Hanya mata hati sahaja yang mampu melihat dan menilainya. Buta mata tidak nampak jalan di dunia, kerana tidak nampak cahaya. Tidak tahu kemana arah dituju, ke hilir atau ke hulu. Tapi bila buta hati menderita dan menyiksakan manusia.
“Kerana sesungguhnya bukanlah buta mata itu buta tetapi yang buta itu, ialah hati di dalam dada” (Al-Hajj: 46)
“Jika begitu, mengapa penularannya tidak dikawal?” Ia tidak menularpun, setiap manusia harus bersedia menghadapinya dengan sistem pertahanan diri. Tetapi sistem pertahanan ini agak luar biasa iaitu untuk sama-sama memperbaiki diri kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Lihatlah rahsia daripada ayat-ayat Allah dan ajaran Rasulullah, antaranya:
“ Ingatlah , hanya dengan mengingati Allahlah, hati akan menjadi tenteram”(Ar-Raad:28)
Dari Ibnu Abbas RA ia berkata:
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Barangsiapa membiasakan membaca Istighfar, Allah pasti akan memberinya kelepasan terhadap setiap kesusahannya dan memberikan jalan keluar terhadap kesempitannya serta memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka” H.R. Abu Daud.
Dari Ibnu Abbas R.A dari Nabi SAW baginda bersabda:
“Barangsiapa yang banyak kesusahan dan kesedihannya, maka perbanyaklah mengucapkan ‘ Tiada daya dan tiada upaya kecuali dengan izin Allah’”
“ Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami meciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (jelaskan ynag demikan itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membangga diri.” (Surah Al-Hadid; 22-23)
Sebagai renungan,
Suatu hari, di sebuah pusat pemulihan pesakit angin ahmar, seorang makcik menceritakan suatu pengalaman yang sangat berbeza berbanding pesakit lain yang rata-rata sangat sedih dengan apa yang terjadi. Makcik yang sentiasa tersenyum ini menceritakan keindahan sembahyang malam. Menurutnya, walaupun beliau begini (lumpuh, tidak dapat bertutur dengan jelas, tidak ingat bilangan anak dan tidak tahu pun dimana beliau setelah serangan angin ahmar), nikmat yang Allah beri kepadanya sudah terlalu banyak dan hebat . “Memang makcik gembira dan tiada apa untuk disedihkan. Tolong ya, tolong ya nak…. beritahu pada kawan-kawan…. mana-mana yang selalu susah hati tu, banyakkan sembahyang malam, itulah waktu yang paling indah, waktu sembahyang malam…”. Ternyata kesihatan hati (rohani) perlu dititik beratkan, jauh lebih berat daripada kesihatan fizikal.
“Jadi sistem rawatan ini patut diwarwarkan kepada orang ramai.” Ya sememangnya perlu dan sudah diketahui sebenarnya. Kerana ia sistem perubatan yang diikiraf hinggga akhir zaman keberkesanannya. Cuma kita sebagai manusia, sentiasa lemah, dan lupa dengan peringatan dan kehebatannya. Sering sahaja mendahulukan cara penyelesaian yang lain berbanding merujuk rahsia daripada Allah. Kerana itu kita perlu sentiasa diingat-ingatkan antara satu sama lain, kerana Allah berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa sahaja yang Dia mahu.
“…..Sesungguhnya, Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepadaNya” (Ar-Raad: 27)
-peribadirasulullah

No comments:

Post a Comment