Pages

Monday, January 24, 2011

Kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat – Impian setiap muslim yang waras


http://i167.photobucket.com/albums/u139/faten_go/tagweed_1.jpg

Ustaz Zainudih Hashim
Tidak ada muslim/muslimah yang celik cara berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia.
Namun kejayaan yang ingin dikecapinya itu perlulah mengikut prosuder dan pantang larang agama Islam, iaitu tidak menyalahi konsep matlamat tidak menghalalkan cara, berapa banyak cara yang dilakukan oleh muslim untuk meniti sesuatu kejayaan, tetapi ianya tidak memenuhi kriteria matlamat agama, maka ia tidak dikira sebagai kejayaan kerana mengenepikan nilai-nilai agama Islam yang murni.
Para ulama yang mewarisi ajaran Nabi Muhammad s.a.w. banyak meninggalkan kaedah, pendekatan serta cara terbaik untuk seseorang muslim/muslimah meniti kejayaan sebenar menurut acuan agama, mereka dianggap sebagai pengamal ajaran-ajaran Islam dan mencontohkannya kepada umum dengan bentuk yang cukup sempurna, jauh dari sebarang penyelewengan, bid’ah, tahayul dan khurafat, kerana ini semua menggagalkan konsep matlamat tidak menghalalkan cara.
Seseorang muslim/muslimah menurut Imam Syahid hasan al-Banna akan sentiasa berada di tangga kejayaan, apabila memiliki faktor-faktor berikut :
* Menganut dengan akidah Islam yang tulen, jauh dari sebarang unsur syirik, kufur dan fasiq.
Iaitu akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menitik-beratkan hujah yang diceduk daripada al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad yang sohih, Ijmak dan Kias yang bukan sahaja menjadi rujukan dalam persoalan hukum syariat Islam, malah dalam perkara yang berkaitan dedngan akidah.
* Beribadat dengan konsepnya yang betul berdasarkan elemen ilmu, kerana sesuatu ibadat itu tidak akan diterima tanpanya.
Setiap muslim/muslimah perlu mengetahui matlamat Allah jadikan mereka bukan untuk berfoya-foya tanpa tujuan hidup, malah mereka dicipta hanyalah untuk tunduk beribadat kepada Allah SWT tanpa perlu adanya perantaraan manusia atau objek-objek lain yang boleh disifatkan sebagai syirik kepada Allah.
* Memiliki ketajaman daya berfikir.
Akal fikiran yang dianugerahkan Allah SWT merupakan satu anggota dalam tubuh manusia yang wajib dipelihara, iaitu dipelihara hingga tidak memikirkan pada perkara-perkara yang tidak menguntungkan Islam, kerananya juga manusia akan disumbatkan dalam api neraka jika sekiranya seseorang itu tidak menghidupkan fungsinya yang sebenar untuk berfikir pada memajukan Islam.
* Memiliki tubuh badan yang semaksima sihat untuk diwakafkan kepada Islam.
Islam amat mementingkan kesihatan tubuh badan yang maksimum daripada setiap muslim/muslimah, kesihatan tubuh badan bukan sahaja untuk menggunakannya pada membantu mereka yang mengharapkan bantuan kebajikan dan sebagainya, malah yang paling penting untuk melaksanakan tuntutan amal-amal ibadat yang difardukan oleh Allah SWT.
Ibadat tidak sahaja dalam bentuk melaksanakan solat, haji, puasa dan lain-lain, tetapi juga mengerahkan tenaga untuk menuju ke rumah Allah bagi menunaikan solat berjemaah, bergotong-royong mengurus ibadat korban, mengurus jenazah, membersihkan alam sekitar seperti kawasan-kawasan masjid dan surau dengan tubuh badan yang sihat, ia dikira sebagai mewakafkan tenaga dan tubuh badan pada jalan Islam.
* Memiliki akhlak Islam yang jitu.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud :Yang paling sempurna iman di kalangan orang-orang yang beriman adalah yang paling sempurna akhlaknya.
Akhlak merupakan elemen penting dalam diri setiap muslim/muslimah, tanpanya ia tidak bermakna menjadi seorang muslim yang telah berjanji kepada Allah untuk menjadikan segala agenda hidup dan mati kerana-Nya seperti yang diungkapkan dalam solat lima kali sehari semalam.
Akhlaklah yang membezakan antara sesorang muslim dan bukan Islam dalam meneraju kehidupan berdasarkan ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w. yang dicontohkan menerusi Sirah baginda.
Akhlak yang jitu ialah memperlihatkan keluhuran budi pekerti terhadap Allah, Rasulullah, para alim ulama, kedua-dua ibu bapa, adik beradik, orang-orang yang lebih tua, jiran tetangga, sesama manusia, alam sekitar, terhadap haiwan, pokok-pokok dan sebagainya. Sesungguhnya akhlak tidak boleh dibuat-buat dengan sengaja tanpa rangsangan daripada diri sendiri yang lahir daripada sanubari yang diikat dengan ajaran agama Islam.
* Bijak menjaga/mengurus waktu dengan baik.
Pengurusan waktu yang baik akan menjadikan muslim berkualiti dengan nilai-nilai kehidupan yang positif, iaitu menggunakan masanya pada perkara-perkara dan di tempat-tempat yang baik yang disukai Islam seperti sentiasa menjadikan masjid dan surau sebagai destinasi persinggahan, selain daripada menunaikan solat fardu berjemaah, diikuti pula dengan penglibatan kelas-kelas fardu ain.
* Memanfaatkan segala apa yang dimiliki untuk kepentingan awam.
Islam sering dan sentiasa menganjurkan kepada penganutnya agar mencurahkan segala apa yang ada pada mereka untuk dikongsi sama dengan saudara-saudara seagama seperti ilmu, kepakaran bagi melahirkanb insan muslim yang boleh dicontohi oleh kaum lain.
* Berusaha untuk berdaya saing dalam segenap bidang dan lapangan.
Umat Islam tidak boleh berbangga dengan kejayaan yang dicapai pada tahap tertentu sahaja, malah memperkasa diri dengan meneroka bidang-bidang yang difikirkan perlu bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah seperti bidang astronomi, maritim dan lain-lain.
* Mampu untuk berusaha mencapai sesuatu matlamat.
Ia juga satu pendekatan yang memperlihatkan kemampuan umat Islam berusaha mencapai sesuatu matlamat semaksimum mungkin yang belum diterokai oleh mana-mana pihak, seperti matlamat mahu melahirkan usahawan mantap, maka usaha ke arah itu perlu dilakukan walaupun menghadapi cabaran yang sukar.
* Bersistematik dalam segenap urusan harian sebagai seorang muslim/muslimah sejati.
Umat Islam perlu membuktikan bahawa kehidupan mereka terancang dan teratur mengikut jadual, penuh dengan agenda, aktiviti, tugasan yang bersistematik hingga mampu mencairkan golongan bukan Islam yang menyanjung, menghormati sekali gus menjadikan mereka cenderung untuk meniru cara kita yang menampilkan pelaksanaan tugasan dan urusan dengan baik.
Sesungguhnya Islam mampu menawan dan memaut hati manusia-manusia sesuai dengan lafaz Islam yang memberi maksud menyelamat. - lanh _
-peribadirasulullah

No comments:

Post a Comment