Pages

Sunday, January 23, 2011

Ikan tapah 80kg berjaya ditangkap



KUALA TAHAN – Tapah atau Giant Cat Fish seberat hampir 80 kilogram berjaya dinaikkan penduduk di Lubuk Kelembai Taman Negara Kuala Tahan semalam sekali gus menarik perhatian pelancong yang datang ke lokasi pelancongan dunia itu.

Pemilik ikan itu, Mohd Nazri Ahmad Zaharudin berkata, dia keluar memancing di Lubuk Kelembai seawal pagi dengan hanya menggunakan joran serta umpan ikan keli.

Menurutnya, ikan tapah itu diperoleh sekitar jam 11 pagi dan mengambil masa lebih sejam untuk menaikkannya dengan bantuan rakan-rakan.

“Tangkapan tapah kali ini seberat hampir 80 kilogram. Ia antara yang terbesar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Agak sukar untuk mendapatkan ikan air tawar sebesar itu, namun ia adalah rezeki besar untuk pembukaan tahun baru.

“Disebabkan saiznya besar, ikan ini agak agresif. Tempoh untuk menaikkannya agak lama menggunakan teknik tertentu supaya tali joran tidak terputus dan ikan tidak terlepas. Saya gembira berikutan ia mendapat perhatian pasaran setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia Pahang, Edros Yahaya berkata, ikan air itu membuktikan Taman Negara Kuala Tahan mempunyai produk pelancongan yang boleh diperkenalkan kepada pelancong menerusi pelbagai aktiviti menarik.

Menurutnya, selain keindahan alam semula jadi dan pelbagai aktiviti yang ditawarkan dalam pakej pelancongan di Taman Negara, pengusaha pelancongan juga boleh memperkembangkan aktiviti di sungai.

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk menaikkan semula kemudahan di Santuari Kelah dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Aktiviti di kawasan santuari itu perlu diperbanyakkan lagi supaya ia dapat memberi nilai tambah kepada lokasi itu sendiri untuk terus dikunjungi pelancong,” katanya ketika merasmikan dan melancarkan Program Rainforest Green Race Taman Negara, semalam.

Beliau berkata, penambahan secara tidak langsung dapat meningkatkan kunjungan pelancong tanpa mengira musim seterusnya memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment