Pages

Monday, January 24, 2011

Algeria, Yaman pula dilanda protes




2011/01/24

POLIS anti rusuhan mengawal tunjuk perasaan di Algiers, ibu kota Algeria, semalam.
POLIS anti rusuhan mengawal tunjuk perasaan di Algiers, ibu kota Algeria, semalam.
Tokoh Mesir sokong bantahan ala Tunisia

ALGIERS: Selepas Tunisia, protes terhadap pemerintah kuku besi meletus di Algeria dan Yaman.

Seorang tokoh Mesir berpendapat pentadbir negaranya sepatutnya digantikan yang baru.

Di Algiers, polis rusuhan memakai topi keledar bersenjatakan cotar dan perisai kelmarin bertempur dengan perusuh yang membaling batu dan kerusi ketika cuba berarak sebagai melawan larangan perhimpunan awam.
Sekurang-kurangnya 19 orang cedera, kata pegawai kerajaan. Tetapi, seorang pegawai parti pembangkang meletakkan angka itu lebih 40 orang.

Algeria adalah antara beberapa negara Afrika Utara dan Asia Barat dilanda bantahan terhadap pemimpin autokratik masing-masing selepas seorang pemuda Tunisia membakar diri bulan lalu, mencetuskan gelombang penentangan yang menyebabkan diktator Tunisia lari ke luar negara.

Penganjur bantahan parti pembangkang demokratik, Parti Budaya dan Demokrasi RCD membaluti sehelai bendera Tunisia bersebelahan bendera Algeria pada balkoni ibu pejabat parti, tempat perarakan bermula.

Polis rusuhan dengan sebuah helikopter dan trak pengawal orang ramai menutup pintu keluar untuk memastikan mereka yang berarak tidak dapat meninggalkan bangunan dan menyerang sesiapa yang cuba keluar. Di luar, beberapa lelaki muda mengibarkan bendera nasional dan melaungkan ‘Kuasa Pembunuh!.’
“Saya seorang tahanan dalam ibu pejabat parti,” kata Said Sadi, seorang bekas calon presiden yang mengetuai Perhimpunan RCD, menerusi pembesar suara dari tingkap balkoni.

Penunjuk perasaan menjerit ‘Berambus Boutef!’ merujuk kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika, mengulangi penentangan ke atas Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali yang lari ke Arab Saudi 14 Januari lalu selepas bantahan besar-besaran di jalan raya Tunisia.

Kementerian Dalam Negeri menganggarkan, mereka yang berarak sekitar 250 orang.

Sembilan orang ditahan, termasuk sesetengah memiliki pisau yang dilarang.

Seorang jurucakap parti, Mohcine Belabbas, berkata 42 penunjuk perasaan dibawa ke hospital untuk dirawat kerana cedera. Pemimpin parti di parlimen, Atmane Mazouz, dipukul di muka dengan cota polis.

Di ADEN, Yaman, ribuan penduduk Yaman yang bosan dengan pemerintahan 32 tahun presiden mereka menuntut pengusirannya kelmarin dalam bantahan yang jelas cabaran besar pertama terhadap diktator terbabit.

Bantahan di Yaman pertama seumpamanya. Ramai penduduk negara itu tidak puas hati kerana kerajaan dilihat mengamalkan rasuah dan dikecam kerana bersekutu dengan Amerika Syarikat dalam memerangi al-Qaeda, ada kebebasan berpolitik dan kekurangan bekalan air.

Kira-kira 2,500 pelajar, aktivis dan kumpulan pembangkang berkumpul dan melaungkan slogan menentang Presiden Ali Abdullah Saleh serta membandingkannya dengan Ben Ali, yang mana penduduk berang dengan kesukaran ekonomi dan rasuah dalam kerajaan.

“Berambus, Ali. Sertai rakan anda Ben Ali,” penentang melaungkan.
Di BERLIN, bekas ketua pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed ElBaradei, berkata pembangkang di Mesir perlu mengikuti jejak langkah penggulingan Presiden Tunisia.

“Jika rakyat Tunisia sudah lakukannya, rakyat Mesir perlu lakukan perkara sama,” katanya kepada Del Spiegel dalam temuramah.

Ketika Mesir terjejas akibat masalah sosial dan menyaksikan beberapa penduduk membakar diri selepas bantahan di Tunisia, ElBaradei menuding kepada perbezaan besar antara kedua negara Afrika utara itu. – AP/AFP

No comments:

Post a Comment