Pages

Friday, January 28, 2011

Akankah Tunisia Menjadi Keping Domino yang Pertama?


Dari Blog Jalan Telawi
Oleh Anwar Ibrahim
Awal bulan ini, warga Tunisia telah berjaya menyingkirkan presiden mereka menerusi satu revolusi popular yang pertama dalam sejarah moden negara-negara Arab. Kepantasan revolusi ini merebak semestinya memberikan isyarat jelas kepada negara-negara Muslim lain yang masih lagi tegar mempertahankan kerajaan otokratik dan diktator.
Jangka hayat panjang rejim sebegini dijamin menerusi keupayaannya dalam menekan suara-suara bantahan dengan jentera-jentera kerajaan yang dikawal, terutamanya institusi ketenteraan. Apa yang berlaku di Tunisia menzahirkan bahawa bila mana salah satu jentera kerajaan tidak berfungsi – seperti yang berlaku kepada pihak tentera ketika mereka gagal bergerak secara efektif – jentera-jentera lain seperti media dan kehakiman akan turut gagal berfungsi.
Apakah ini merupakan detik seperti runtuhnya Tembok Berlin bagi warga Timur Tengah? Apakah negara-negara Arab lain yang mengguna pakai modus operandi yang sama dalam amalan penindasan politik bakal ditumbangkan juga?
Pada tahun 2005, dalam satu ucapan di Forum Dunia Amerika Syarikat (AS) – Islam di Doha, saya mengungkapkan bahawa pendemokrasian bakal muncul di Timur Tengah jauh lebih awal dari yang diramalkan, dan saya mengkritik dasar luar AS dengan menyifatkannya sebagai “dasar talam dua muka.” Ketika pentadbiran Bush mendukung kebebasan dalam melancarkan perang melawan keganasan, AS tetap teguh bersekutu dengan negara-negara yang secara terang-terangan mengamalkan dasar penindasan untuk mengekang masyarakat awam dan menggagalkan demokrasi.
Di bawah pentadbiran Obama, dasar talam dua muka ini masih lagi wujud. Walaupun dalam ucapan bersejarahnya di Kaherah di mana beliau secara khusus memuji wakil kerajaan, pentadbiran Rumah Putih masih terus bekerjasama dengan pelbagai otokrat dari Timur Tengah. Dari perspektif para demokrat di rantau itu, dasar talam dua muka AS ini adalah disebabkan pendemokrasian akan mengakibatkan wujudnya kerajaan yang kurang cenderung menyokong agenda dan tuntutan AS terutamanya pentadbiran yang disifatkan Islamik oleh AS.
Merujuk kepada Tunisia, adalah mustahil Zine el Abidine Ben Ali mampu kekal menerajui negara selama 25 tahun tanpa dukungan dari Amerika. Kenyataan bahawa rejim kleptokratik pimpinan beliau akhirnya tumbang merupakan peringatan keras bahawa sesebuah kerajaan yang ditegakkan melalui penindasan ke atas rakyat takkan bertahan lama. Kita telah menyaksikannya di Iran pada tahun 1979 menerusi kejatuhan dramatik Shah, dan juga pada tahun 1998 ketika rakyat Indonesia mengecap nikmat demokrasi secara aman setelah hampir tiga dekad ditadbir di bawah kepimpinan tentera.
Masalah yang menghantui dunia Arab tetap mengejutkan: monopoli kekayaan dan kuasa oleh segelintir elit politik, kemerosotan infrastruktur, sistem pendidikan yang jumud, kepincangan dalam perkhidmatan kesihatan serta bebanan pendapatan dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kos hidup. Rasuah dan nepotisme menjadi raja di sebalik tiadanya kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Sememangnya semua ciri tersebut merupakan acuan terbaik sebuah pergolakan politik: peminggiran politik dan ekonomi ke atas rakyat serta perompakan kekayaan negara oleh elit pemerintah. Ianya merupakan satu realiti yang tidak dapat disucikan oleh propaganda – kerana rakyat boleh menyaksikannya di YouTube dan Facebook – walaupun dicuba dengan pelbagai kaedah oleh pemerintah. Pastinya, tiada seorang pun pemimpin Arab yang akan mengakui kebejatan ini, sebaliknya akan menzahirkan kewarakan dan menabur janji untuk terus memperbaiki tahap ekonomi rakyat.
Adalah sesuatu yang bodoh bagi kerajaan di rantau itu sekiranya menganggap bahawa apa yang berlaku di Tunisia ini sebagai kes terpencil. Permasalahan ekonomi dan politik yang mencetuskan revolusi merupakan sesuatu yang luar biasa terhadap negara tersebut. Seseorang hanya perlu berjalan di sepanjang kaki lima di Kaherah dan Karachi, atau merayau-rayau di pekan-pekan terpencil di Algeria dan Afghanistan untuk melihat bagaimana sengsaranya kemiskinan dan penindasan sehingga mampu memusnahkan martabat diri seseorang.
Pemerintah otokratik yang telah terbiasa dengan kedaulatan mutlak barangkali akan mengubah fikiran mereka. Kebangkitan di Tunisia didorong oleh hasrat untuk mencapai kebebasan dan keadilan, dan bukan kerana ideologi tertentu. Faktor keganasan Islam, yang sering dijadikan kambing hitam oleh para diktator di Timur Tengah untuk menghalalkan kezaliman mereka, perlu dipertimbangkan semula atau dibakulsampahkan terus. AS juga harus mengambil pengajaran tentang mitos bahawa diktator yang sekular merupakan taruhan terbaik dalam melawan golongan Islamis. Revolusi, sama ada yang bersifat sekular atau keagamaan lahir dari keinginan sejagat untuk memartabatkan hak. Persamaan di antara revolusi di Iran dan pergolakan di Tunisia adalah kebangkitan rakyat yang telah sekian lama menderita di bawah pemerintahan yang menindas.
Apakah revolusi di Tunisia ini mampu menjana kebangkitan warga Arab dan mengubahnya kepada pembebasan Timur Tengah? Tatkala Tunisia bergerak ke dalam kelompok negara-negara Timur Tengah yang memartabatkan demokrasi seiring dengan negara seperti Turki, namun untuk kebanyakan negara Islam lain, demokrasi masih lagi merupakan sesuatu yang sukar dikecap. Pakatan pembangkang di negara-negara seperti Mesir kini sudah menemui harapan baru menerusi perkembangan yang berlaku di Tunisia. Bantahan-bantahan di Kaherah dan di wilayah-wilayah sekitarnya telah mengubah tanggapan yang selama ini menganggap bahawa bangsa Arab dan umat Islam bersifat pasif dalam politik dan senantiasa cenderung terhadap otoritarianisme. Namun, apakah mereka akan diberi peluang yang adil? Rakyat Palestin pernah memilih pemimpin mereka menerusi pilihan raya namun kuasa Barat telah campurtangan dan mengubah peraturan pilihan raya tersebut.
Kenyataan asasnya adalah jelas iaitu AS mesti menghentikan sokongan terhadap pemimpin-pemimpin diktator dan kuku besi sama ada di Timur Tengah, Pakistan atau di Asia Tenggara. Apa yang berlaku di Tunisia sewajarnya diamati sebagai fajar baru bagi demokrasi di dunia Arab dan Islam.
*Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari artikel berjudul “Will Tunisia Be the First Domino?” tulisan Anwar Ibrahim yang diterbitkan di laman The Wall Street Journal pada 26 Januari 2011*

No comments:

Post a Comment