Pages
▼
Monday, September 20, 2010
11 Tanda Kehidupan yang Celaka
11 Tanda kehidupan yang celaka :
- Rakus untuk mengumpul harta
- Semangatnya hanya dalam pemuasan nafsu syahwat dan kelazatan dunia
- Banyak bicara dan keji mulut
- Gopoh dalam menunaikan solat
- Makan dari sumber yang haram dan syubhat serta bersahabat kepada orang-orang jahat
- Biadab dan tidak berbudi
- Sombong dan berlagak
- Tidak berbudi dan tidak suka menolong
- Tidak kasih kepada kaum muslimin
- Bakhil dan kikir
- Lupa akan mati, sebab bila ia ingat akan mati maka ia tidak akan menimbun makanan dan tidak ada rasa belas kepada kaum muslimin.
10 Tanda Kebahagiaan Dalam Hidup
10 Tanda Kebahgiaan di dalam kehidupan :
- Tidak rakus kepada dunia dan benar-benar ingin kepada akhirat
- Sentiasa berminat kepada ibadat dan mempelajari Al-Quran
- Sedikit bicara kecuali perlu
- Menjaga sembahyang yang lima waktu
- Bertawadhuk, merendah diri dan tidak sombong
- Bersahabat dengan orang-orang solihin
- Menjauhkan diri dari haram, sedikit atau banyak
- Sentiasa bersifat pemurah dan baik
- Kasih sayang kepada semua makhluk
- Selalu ingat kepada mati
7 Tanda Orang Tidak Berakal
- Menzalimi semua orang bawahannya.
- Membesarkan diri dan menghina orang lain.
- Bercakap tanpa adap dan sopan.
- Menghina dan menyalahkan semua tindakan orang lain serta tidak mengakui kesalahan diri sendiri.
- Menyintai perbuatan salah dan keji.
- Melambat atau menyekat perbuatan kebaikan dan cepat melakukan perbuatan keji.
- Tidak sabar menghadapi ujian dan dugaan Allah SWT.
Kitab Muhimmah. m/s: 230.
10 Tanda Orang Yang Berakal- Siti Aisyah R.A.
10 Tanda orang berakal zahir dan batin.
5 Tanda Zahir:
- Diam diri.
- Menahan marah.
- Merendah diri.
- Peramah.
- Berbuat amal soleh.
5 Tanda Batin:
- Berkata-kata dengan kebajikan.
- Berbuat ibadat.
- Sentiasa takut kepada Allah SWT.
- Membesarkan dosa dirinya ( Agar timbul perasaan untuk bertaubat).
- Menghina dirinya ( walaupun manusia sebaik-baik kejadian tetapi manusia sering melakukan dosa).
Wanita Menawan Di Alam Syaitan
"Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku."
Interesting. Cukup menarik kisah ini. Kisah yang dialami oleh seorang rakan blog. Walaupun cerita itu sudah lama berlalu, baharu sekarang dia sudi berkongsi pengalaman hebat tersebut bersama kita semua. Bermula dari satu niat ikhlas ingin membantu sesama insan menyelesaikan masalah rumit yang sukar diduga halacaranya. Dalam pada itu tak semena-mena dia diberi kesempatan (atau satu ujian?) menjengok ke alam syaitan. Heeii seram juga kita mendengarnya.
Walau apa pun, memang terserlah keikhlasan hatinya memberitakan pengalaman anehnya. Di satu ketika semasa sibuk membuat liputan satu kejadian "histeria", terjadinya peristiwa ini. Beliau sanggup menyimpan kisah ini dan tidak memaparkannya dalam mana-mana penerbitan. Padahal dia seorang pemberita (reporter). Bukan kerana nama. Itulah yang boleh kita kelaskan terhadap sikap dan tindakan rakan kita itu.
Dari cerita ini (pastinya cerita benar - bukan fiksyen) maklumlah kita bahawa betapa liciknya syaitan dalam kerjanya memperdaya manusia. Calang-calang orang tentu sahaja akan tergelonsor menyembah dikaki mereka. Alhamdulillah, selepas membaca kisahnya itu, saya dapat rasakan rakan kita itu amat bertuah kerana telah diuji dan berjaya pula mengharunginya dengan bantuan seorang yang arif. Terfikir pula saya bagaimana jika kita diuji sedemikian, berjayakah kita mengatasinya? Allah Maha Adil.Hanya yang layak dan mampu sahaja akan diuji.
Dari kisah ini juga kita dihidangkan dengan satu keanihan yang lain. Satu kelebihan yang ada pada kaum muslimin semua tanpa kita sedari. Sebahagian besar dari kita menganggap remeh dan ambil mudah mengenainya. Iaitu WUDUK dan AZAN. Jika perkara sekecil ini mempunyai kehebatan yang menabjubkan, apa lagi perkara yang lebih besar dan gah.
Kesimpulannya setiap sesuatu yang difardhukan atau disunatkan, pastinya punya kelebihan dan kebaikan samaada kita tahu atau tidak. Jangan lagi meremehkan setiap amalan yang diajar didalam agama. Bersyukurlah kita dilahirkan sebagai orang Islam, harapan saya jangan lagi ada sesiapa yang cuba meninggalkan agama mulia ini. Satu kerugian yang amat nyata.
Kisahnya saya bawa untuk tatapan sesiapa yang belum mengetahuinya.
Malam itu selepas selesai solat Maghrib, Pak Ku berpesan kepada aku supaya menjaga wuduk supaya tidak terbatal. Pak Ku juga berpesan supaya aku berniat dalam hati untuk terus pergi ke masjid untuk menunaikan Isyak apabila tiba waktu.
Pak Ku membawa aku ke belakang sekolah itu, dia duduk di sebelah kanan aku dan pembantunya di sebelah kiri aku.
“Pak Ku nak tunjuk satu perkara kat hang. Tapi Pak Ku pesan, jangan langkah ke depan atau ke belakang. Tetap berdiri tegak, jangan bergerak-gerak. Banyakkan bertasbih dan jadikan hati tak sabar nak menunaikan Isyak pula selepas ini.” pesan Pak Ku.
Aku mengangguk tanda faham walaupun aku sebenarnya kurang faham tujuan Pak Ku. Kemudian Pak Ku membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diakhiri ‘sodaqollah-hul-azim’.
Pak Ku kemudian melafazkan:
“Kamu juga makhluk Allah. Kami juga makhluk Allah, tapi kami khalifah yang beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua janji-janji-Nya. Aku berserah kepada Allah, Maha pencipta yang menciptakan ‘kamu’ dan kami. Perlihatkan anak Adam ini dengan dunia kamu, dengan kalimah La-ila-ha-illallah.” lafaz Pak Ku.
Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku.
Aku lihat ada dunia di belakang wanita itu. Ramai juga dayang-dayangnya yang cantik-cantik. Ada juga ular jinak berlingkar-lingkar di kaki wanita yang sudah tidak berpakaian itu. Aku tetap berpegang kepada pesanan Pak Ku, jangan bergerak walau setapak.
Kemudian aku terdengar suara wanita itu seperti dia berbisik ke telingaku walaupun bibirnya sedikit pun tidak bergerak: “Kamu manusia yang menginginkanku, aku berikan segala yang kamu mahu, melangkahlah ke arah ku,” itu bisikan yang menyusup deras ke pangkal jiwa, sekadar yang aku masih ingat.
Perlahan-lahan, wajah wanita muda itu bertukar hodoh. Ular jinak tadi pula semakin ganas seperti mahu membaham aku.
Sayup-sayup, aku terdengar satu suara seperti memanggil-manggil jiwaku. Suara itu sebati dengan niatku sebelum itu. Tingkap itu terus tertutup sedikit-demi sedikit, sempat juga terlihat ‘anak-anak kecil’ berlari menyusup masuk ke tingkap yang sedang tertutup itu. Terasa belakangku ditepuk, aku dengar suara Pak Ku membisikkan dua kalimah syahadah di telingaku. Kemudian, aku terasa seperti terjaga daripada lena.
Pak Ku kemudian membaca sesuatu dan melontar beberapa ketul batu bersama pembantunya ke arah kawasan yang aku menghadap tadi.
“Jom kita pergi sembahyang Isyak,” itulah peringatan Pak Ku sebaik aku ‘terjaga’.
Selesai solat Isyak, Pak Ku menceritakan perkara sebenar kepada aku. Menceritakan mengenai perkara yang aku lihat sebentar tadi tetapi tidak faham.
“Pak Ku suruh hang jaga wuduk supaya hang tak disentuh makhluk tadi. Pak Ku suruh hang kuatkan azam untuk tunaikan solat Isyak supaya azan Isyak yang hang dengar tadi itu dapat panggil jiwa hang daripada terus terbuai dengan godaan syaitan. Niat untuk tidak mahu tinggalkan waktu Isyak itulah yang menguatkan jiwa hang.
“Jiwa hang terpanggil oleh azan tadi disebabkan hang niat nak solat dengan ikhlas. Syaitan tak mampu goda manusia kalau manusia tu ikhlas. Itu senjata kita” kata Pak Ku.
“Yang tadi tu syaitan?” aku tanya.
“Ya. Itu syaitan yang sangat benci manusia dan selalu mahu menyesatkan manusia. Dia (syaitan) berusaha untuk goda dengan cara tadi (menjelma wanita berbogel) sebab dia tahu isteri hang tak ada di rumah. Sebab dia tahu hang rindu isteri hang.
“Tapi mujur hang tak melangkah walau setapak. Sebab kalau hang melangkah walau setapak tidak kira ke depan atau ke belakang pada masa tu, hang akan melangkah masuk ke dunia ‘dia’. Kita manusia ni dilarang masuk ke dunia dia (syaitan). Yang hang tengok tadi cuma dari luar pintu. Hang tak masuk pun dalam dunia tu.,” kata Pak Ku.
“Tapi, kenapa Pak Ku buat macam tu. Saya tak mintak pun Pak Ku tunjuk semua tu kat saya,” aku menyoal.
“Pak Ku buat macam tu sebab Pak Ku nak bagi peluang hang tengok apa yang sebenarnya ada di belakang sekolah ni. Sebab Pak Ku yakin, hang takkan melangkah masuk. Atas sebab tu Pak Ku bagi peluang kat hang,” kata Pak Ku.
“Sebelum saya sedar tadi, ada ‘benda’ macam budak-budak kecil berlari masuk ke situ. Apa benda tu? Lepas tu, apa yang Pak Ku lontar batu?” aku tanya lagi.
“Itu juga syaitan, jin. Lontar batu tu sebagai tanda benci kepada syaitan, tapi tak sama macam melontar di Mekah. Lontar tu sebagai amaran supaya dia jangan ganggu anak Adam lagi. Makhluk-makhluk kafir tu lari masuk ke dunia dia selepas dengar azan Isyak. Pak Ku pilih waktu antara Maghrib dengan Isyak sebab waktunya pendek. Kalau Pak Ku ambil waktu antara Isyak dengan Subuh, itu nampaknya hang kena tahan godaan dalam tempoh yang lama. Lagi pula kalau wuduk terbatal antara waktu yang panjang tu, maka lagi senanglah dia nak goda.
“ Pak Ku buat ni sebab dapat rasa yang hang ni susah nak percaya kat bomoh-bomoh tipu yang hanya nak ambik kesempatan atas hang untuk glamer di surat khabar. Pak Ku buat ni sebagai nak bagi hadiah atas kesudian hang bagi peluang kat Pak Ku untuk tolong budak-budak ni. Terima kasih sebab percaya dengan niat Pak Ku. Tak perlu tulis cerita Pak Ku cuba ubati budak-budak sekolah ni dalam surat khabar,” jelas Pak Ku.
Filem Facebook sertai tayangan perdana
SAN FRANCISCO 19 Sept. - Janji-janji elitisme, individu yang pakar dalam teknologi, pengkhianatan dan tamak, merupakan antara babak yang dapat disaksikan dalam filem The Social Network yang akan ditayangkan pada 1 Oktober ini, sebuah filem yang mengisahkan tentang 'kelahiran' jaringan sosial popular, Facebook.
Facebook dan pengasasnya, Mark Zuckerberg, tidak menyetujui penerbitan filem tersebut yang diadaptasi daripada sebuah buku bertajuk The Accidental Billionaires.
Filem tersebut diarahkan David Fincher, yang pernah menerima pencalonan Oscar menerusi filem 'The Curious Case of Benjamin Button'.
Menurut satu draf yang boleh didapati di Internet, skrip filem Facebook yang ditulis Aaron Sorkin, pencipta siri televisyen hangat The West Wing, bermula dengan kisah Zuckerberg sebagai pelajar berusia 19 tahun yang sangat pemalu di Harvard.
Dalam filem itu, Zuckerberg yang bijak mula 'mengalihkan' tumpuan kepada komputer selepas ditinggalkan kekasihnya, menggunakan saat-saat kecewa itu untuk mewujudkan Facebook.
Penganalisis syarikat penyelidik teknologi dan pasaran bebas, Forrester, Josh Bernoff yang juga penulis bersama buku jaringan sosial seperti Groundswell dan Empowered berkata, beliau faham mengapa Hollywood menerbitkan filem tersebut.
"Terdapat satu tarikan utama yang tidak boleh dielakkan terhadap lelaki seperti Zuckerberg yang berjaya mewujudkan sesuatu yang sangat berharga dan mempunyai satu personaliti luar biasa.
"Ditambah dengan kewujudan Facebook sebagai subjek kontroversi, disebabkan beberapa tuntutan mahkamah yang mempersoalkan idea penciptaan Facebook itu milik siapa serta nilai Facebook yang diperdebatkan," katanya.
Filem tersebut membawa penonton menyelami kehidupan Zuckerberg di Harvard, seorang pelajar yang mempunyai kemahiran komputer yang tinggi tetapi tidak memenuhi status universiti elit itu.
Sepasang kembar, Tyler dan Cameron Winklevoss, senior Zuckerberg di Harvard yang mendakwa pengasas Facebook itu mencuri idea mereka untuk melancarkan jaringan sosial terkenal tersebut pada Jumaat lalu berkata, mereka akan hadir menyaksikan tayangan perdana filem berkenaan di New York. - AFP
Lelaki kudung berjaya rentas Selat Inggeris
LILLE Perancis 19 Sept. - Seorang lelaki Perancis yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya akibat kejutan elektrik, berjaya berenang merentasi Selat Inggeris, semalam.
Philippe Croizon, 42, yang melakukan persiapan selama dua tahun bagi cabaran itu, berenang dari Folkestone, selatan England pada kira-kira pukul 8 pagi semalam (2 pagi semalam waktu Malaysia) dan tiba di pantai Perancis berhampiran Wissant pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan.
Dia berenang dengan bantuan kaki palsu berbentuk sirip yang direka khas.
"Saya berjaya melakukannya. Ini satu kerja gila!," kata Croizon kepada radio France Info sambil menyatakan bahawa dia berharap dapat menjadi simbol 'mengatasi kemampuan seseorang'.
Pasukannya berkata, lelaki itu berjaya mengekalkan kelajuan berenang dalam cuaca bagus dan dia turut diiringi ikan lumba-lumba di sebahagian daripada usahanya merentasi Selat Inggeris.
Croizon berenang pada kelajuan tiga kilometer sejam, agak perlahan berbanding antara empat hingga lima kilometer sejam yang boleh dicatat atlet renang normal.
Pada 1994, pekerja logam itu terkena renjatan elektrik 20,000 volt ketika cuba mengalihkan aerial televisyen dari sebuah bumbung rumah apabila aliran elektrik dari sebuah talian kuasa berhampiran secara tiba-tiba mengenainya.
Doktor terpaksa memotong kedua- dua kaki dan tangannya.
Croizon terpanggil untuk berenang merentasi Selat Inggeris apabila menonton satu dokumentari televisyen tentang seorang perenang yang berjaya menyeberangi selat tersebut semasa menjalani rawatan di hospital.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia mahu menamatkan cabaran itu untuk dirinya, keluarganya serta semua rakan senasibnya, yang kehilangan satu nikmat hidup. - AFP
Serangan dekat masjid, dua warga asing cedera
NEW DELHI 19 Sept. - Dua warga asing cedera parah selepas sekumpulan lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan berhampiran masjid utama di sini hari ini, lapor stesen televisyen, CNN-IBN.
Insiden itu berlaku hanya dua minggu sebelum berlangsungnya Sukan Komanwel yang akan diadakan di ibu negara India ini.
Tahap keselamatan di New Delhi kini ditingkatkan dengan pihak berkuasa lebih berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya serangan kumpulan militan yang telah membunuh ramai orang awam sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, keadaan kedua-dua warga asing tersebut masih belum diketahui dan CNN-IBN melaporkan mereka merupakan warga Taiwan.
Polis mengesahkan terdapat insiden tembak-menembak tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Terdapat kejadian tembakan di pintu nombor tiga, Masjid Jama menyebabkan dua orang cedera parah.
"Namun, kami masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah serangan daripada kumpulan militan ataupun tidak," kata jurucakap polis, Rajan Bhagat kepada pemberita, di sini hari ini. - REUTERS
Tentera Filipina bunuh militan Abu Sayyaf
MANILA 19 Sept. - Tentera Filipina bertempur dengan pasukan bersenjata Abu Sayyaf di sebuah kawasan perkampungan di wilayah selatan negara ini, hari ini mengakibat beberapa militan yang dikehendaki terkorban.
Menurut komander tentera daerah, Leftenan Jeneral Benjamin Dolorfino, militan Abdukarim Sali terbunuh dalam kejadian tersebut di perkampungan rendah Mangas, kota Lantawan di kepulauan Basilan, yang merupakan kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf yang mempunyai hubungan dengan rangkaian al- Qaeda.
Beberapa anggota militan melarikan diri meninggalkan mayat Sali bersama-sama senapang M16, bom tangan, peluru dan telefon bimbit.
Pihak kerajaan menawarkan ganjaran sebanyak AS$7,700 (RM23,897) bagi penangkapan atau pembunuhan Sali, salah seorang yang terlibat dalam membantu penculikan tiga pelancong Amerika dan 17 pelancong tempatan pada Mei 2001 di pusat percutian Dos Palmas di sebelah barat wilayah Palawan. - AP
Protes besar-besaran lawatan Pope ke London
LONDON 19 Sept. - Pope Benedict menghadapi protes terbesar dalam 17 lawatannya ke luar negara apabila lebih 10,000 orang berarak di London, semalam mengecam beliau berhubung skandal seks melibatkan gereja Roman Katolik, paderi wanita dan homoseksual.
Sebilangan penunjuk perasaan itu memakai kostum seperti pakaian rahib wanita serba hitam dan jubah merah paderi dan ada yang membawa sepanduk dengan mesej menyuruh Pope balik ke Vatican.
Benedict menghadapi protes demi protes sepanjang lawatan empat harinya ke England dan Scotland, sering kali bersaing untuk mencuri perhatian dengan penganut setia Roman Katolik yang menyokong lawatan beliau.
Protes paling lantang dan warna- warni berlaku, semalam apabila penyokong sekularisme, ateis, kumpulan pro-gay dan aktivis hak asasi manusia berganding bahu dalam perarakan Memprotes Pope dari Hyde Park Corner ke kediaman Perdana Menteri di Downing Street.
Demonstrasi itu adalah yang terbesar pernah dihadapi oleh Pope semasa 17 lawatan beliau ke luar negara sejak mengetuai gereja Roman Katolik lima tahun lalu.
Tindakan Benedict memohon maaf semasa upacara sembahyang semalam apabila beliau menyifatkan paderi pedofilia telah mendatangkan 'aib dan kehinaan' gagal meredakan kemarahan penunjuk perasaan.
"Memohon maaf tidak akan menyelesaikan masalah. Dia tertakluk kepada undang-undang seperti orang lain. Jika saya melakukannya (menyembunyikan skandal) saya akan dipenjarakan," kata seorang penunjuk perasaan, Alice Holding, 40.
Penunjuk perasaan lain berkata, pembayar cukai tidak sepatutnya membiayai kos lawatan itu dan mereka mengkritik sambutan besar-besaran yang diberikan.
"Jika penganut Katolik mahu mengikut ajaran beliau, itu pilihan mereka, tetapi penduduk lain seperti kami mahu beliau balik dan berhenti menganggu kami," kata Terry Sanderson daripada Persatuan Sekular Kebangsaan. - Reuters
Paderi Terry Jones tanggung kos AS$180,000
ORLANDO, Amerika Syarikat 19 Sept. - Pihak berkuasa bandar raya Gainesville di Florida akan menghantar bil berjumlah lebih AS$180,000 (RM576,000) kepada paderi Terry Jones bagi kos keselamatan yang ditanggung berhubung ugutannya untuk membakar al-Quran sempena hari ulang tahun memperingati serangan 11 September, 2001, baru-baru ini.
Agensi-agensi polis menghabiskan masa lebih sebulan untuk menyediakan pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan komuniti di sekitar gereja Jones, Dove World Outreach Center iaitu lokasi yang dirancang bagi membakar lebih 200 naskhah al-Quran, kata jurucakap polis Gainesville, Korperal Tscharna Senn kelmarin.
Jones juga memberitahu pihak berkuasa bahawa dia menerima banyak ugutan bunuh berikutan rancangannya untuk membakar al-Quran, yang akhirnya dibatalkannya ekoran tekanan hebat daripada para pemimpin dunia.
Jabatan Polis Gainesville membelanjakan lebih AS$100,000 (RM320,000), manakala Pejabat Syerif Daerah Alachua menghabiskan kira-kira AS$80,000 (RM256,000) untuk langkah-langkah keselamatan pada hujung minggu lepas, iaitu hari yang dijadualkan bagi pembakaran tersebut.
"Kami ada 286 anggota beruniform dan hampir setiap orang bertugas sama ada di Dove Center atau di tempat lain yang boleh menjadi sasaran serangan.
"Melainkan seseorang anggota itu sakit atau cedera, mereka semua bekerja pada hari pembakaran itu dijadualkan," kata Senn.
Anggota polis memperketatkan kawalan keselamatan di gedung-gedung membeli-belah di kawasan berhampiran, stadium bola sepak Universiti Florida serta di kawasan sekitar gereja pada hari-hari sebelum pembakaran itu dijadualkan.
Jones kelmarin berkata, pihak gereja 'tidak menyedari mereka akan dikehendaki membayar bil keselamatan'.
"Jika kami mengetahui perkara ini awal-awal lagi, sudah tentu kami tidak mahu kawalan keselamatan disediakan," katanya.
Beberapa pihak menuduh pihak berkuasa melakukan persiapan keselamatan yang keterlaluan.
"Memang mudah untuk mendakwa kami membuat persiapan keterlaluan, tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, kami akan dituduh kurang bersedia," kata Senn. - CNN
Pertikaian wilayah selesai secara aman
MANILA 19 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara akan menganjurkan supaya pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan secara aman dan meminta pihak-pihak yang menuntut supaya tidak mengambil jalan keluar menggunakan kekerasan, demikian menurut satu draf komunike yang bakal dikeluarkan.
Washington pada Julai lalu meningkatkan ketegangan dalam masalah tersebut apabila Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton memberitahu sebuah forum serantau mengenai keselamatan di Vietnam bahawa penyelesaian secara aman berhubung perebutan ke atas gugusan kepulauan Spratly dan Paracel menjadi kepentingan nasional kepada AS.
Washington bimbang konflik tersebut boleh menjejaskan akses kepada salah satu daripada laluan kapal komersial paling sibuk di dunia.
Kenyataan AS itu mengundang kemarahan Beijing dengan menyifatkan negara itu campur tangan dalam isu rantau Asia.
Obama akan bertemu 10 rakan sejawatnya dari ASEAN pada Jumaat ini pada satu sidang kemuncak di mana mereka dijangka membincangkan tentang usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama ekonomi serta isu keselamatan termasuk pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
Menurut satu draf kenyataan yang diperolehi The Associated Press hari ini, Obama dan pemimpin ASEAN akan mengeluarkan satu kenyataan bersama, di mana Washington telah mencadangkan teks yang menegaskan tentang kepentingan pelayaran bebas, kestabilan rantau, menghormati undang-undang antarabangsa dan perdagangan tanpa halangan di Laut China Selatan.
Kenyataan tersebut membantah 'penggunaan kuasa ancaman oleh mana-mana negara yang menuntut, yang cuba mengukuhkan tuntutan mereka ke atas wilayah yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan'.
Semua pemimpin juga akan menyatakan sokongan mereka terhadap deklarasi ASEAN-China 2002 tentang perlakuan pihak-pihak di Laut China Selatan, yang menggesa negara-negara yang menuntut tidak mengambil langkah yang boleh mencetuskan keganasan dan menimbulkan ketegangan baru.
Pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan menggesa pihak-pihak yang menuntut supaya menyokong kod perlakuan yang baik.
China menuntut seluruh wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Vietnam, Taiwan, Malaysia, Brunei dan Filipina.
Di samping kaya dengan hasil laut, wilayah itu juga dipercayai mempunyai simpanan sumber asli seperti minyak dan gas asli yang banyak. - AP