Pages

Monday, September 20, 2010

Pertikaian wilayah selesai secara aman


Gambar bertarikh 19 Jun, 1999 yang dikeluarkan oleh tentera Filipina merakamkan pemandangan dari udara pihak Malaysia sedang membina struktur bangunan di salah sebuah pulau di kepulauan Spratly yang menjadi rebutan antara beberapa negara di Laut China Selatan. - AFP


MANILA 19 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara akan menganjurkan supaya pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan secara aman dan meminta pihak-pihak yang menuntut supaya tidak mengambil jalan keluar menggunakan kekerasan, demikian menurut satu draf komunike yang bakal dikeluarkan.
Washington pada Julai lalu meningkatkan ketegangan dalam masalah tersebut apabila Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton memberitahu sebuah forum serantau mengenai keselamatan di Vietnam bahawa penyelesaian secara aman berhubung perebutan ke atas gugusan kepulauan Spratly dan Paracel menjadi kepentingan nasional kepada AS.
Washington bimbang konflik tersebut boleh menjejaskan akses kepada salah satu daripada laluan kapal komersial paling sibuk di dunia.
Kenyataan AS itu mengundang kemarahan Beijing dengan menyifatkan negara itu campur tangan dalam isu rantau Asia.
Obama akan bertemu 10 rakan sejawatnya dari ASEAN pada Jumaat ini pada satu sidang kemuncak di mana mereka dijangka membincangkan tentang usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama ekonomi serta isu keselamatan termasuk pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
Menurut satu draf kenyataan yang diperolehi The Associated Press hari ini, Obama dan pemimpin ASEAN akan mengeluarkan satu kenyataan bersama, di mana Washington telah mencadangkan teks yang menegaskan tentang kepentingan pelayaran bebas, kestabilan rantau, menghormati undang-undang antarabangsa dan perdagangan tanpa halangan di Laut China Selatan.
Kenyataan tersebut membantah 'penggunaan kuasa ancaman oleh mana-mana negara yang menuntut, yang cuba mengukuhkan tuntutan mereka ke atas wilayah yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan'.
Semua pemimpin juga akan menyatakan sokongan mereka terhadap deklarasi ASEAN-China 2002 tentang perlakuan pihak-pihak di Laut China Selatan, yang menggesa negara-negara yang menuntut tidak mengambil langkah yang boleh mencetuskan keganasan dan menimbulkan ketegangan baru.
Pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan menggesa pihak-pihak yang menuntut supaya menyokong kod perlakuan yang baik.
China menuntut seluruh wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Vietnam, Taiwan, Malaysia, Brunei dan Filipina.
Di samping kaya dengan hasil laut, wilayah itu juga dipercayai mempunyai simpanan sumber asli seperti minyak dan gas asli yang banyak. - AP

No comments:

Post a Comment