Pages

Tuesday, December 21, 2010

Zionis berang dikecam

PERTUBUHAN hak asasi manusia berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW), menegaskan warga Palestin yang tinggal di tanah jajahan Israel di Tebing Barat hidup melarat tanpa sebarang kemudahan asas.
Segala-galanya, kata HRW, berpunca daripada dasar diskriminasi Israel ke atas pemilik sebenar tanah berkenaan.

Justeru, HRW menggesa Washington menghukum Israel dengan hanya menyerahkan bantuan tahunan setara dengan subsidi diberi Tel Aviv kepada penduduk Palestin di Tebing Barat.

Dalam laporan setebal 166 halaman itu, HRW mendapati Israel menafikan hak penduduk Palestin daripada mendapat perkhidmatan seperti dinikmati pendatang haram Yahudi di situ.

Wakil HRW, Carroll Bogert, berkata penduduk Palestin itu menghadapi diskriminasi bersistematik hanya kerana faktor keturunan, etnik dan asal-usul mereka.

“Penduduk terbabit dinafikan hak mendapat bekalan elektrik, air bersih, sekolah dan akses ke jalan utama,” katanya.

Pada masa sama, kata Carroll, pendatang Yahudi itu diberi layanan baik walaupun taraf penempatan mereka dianggap haram mengikut perspektif undang-undang antarabangsa.

“Warga Palestin seperti terperangkap dalam ruang waktu silam.

“Bukan saja mereka tidak mendapat hak persamaan, malah kadang-kadang dizalimi apabila diusir dari tanah sendiri,” katanya.

Seperti kelaziman mana-mana penganut Zionis, Tel Aviv dengan pantas menafikan laporan HRW dan mendakwa pertubuhan itu bersikap berat sebelah.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pertubuhan hak asasi manusia kononnya selalu bersikap hipokrit dan ia mesti didedahkan kepada umum.

“Mereka memejamkan mata terhadap rejim paling kejam di dunia kerana merejam wanita sehingga mati dan menggantung pengamal homoseks.

“Sebaliknya, pertubuhan itu hanya menyerang satu-satunya negara liberal dan demokratik di Timur Tengah,” katanya.

Jurucakap kerajaan, Mark Regev, pula berkata HRW membenarkan agenda anti-Israel mempengaruhi pandangan mereka terhadap sesuatu isu.

Sambil menafikan laporan HRW, Regev berkata, berlaku pembangunan pesat di wilayah dikuasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat sejak dua tahun lalu.

“Sesiapa saja yang memberi perhatian secara objektif dapat melihat hakikat itu.

“Kerajaan Israel komited bekerjasama dengan PA bagi kepentingan semua pihak,” katanya.

Namun, di sebalik penafian membabi-buta Tel Aviv itu, penulis laporan dan penyelidik HRW, Bill Van Esveld, berkata penelitian pertubuhan itu membuktikan kewujudan dua sistem berbeza yang diamalkan oleh satu rangkaian undang-undang diskriminasi dan ketenteraan.

“Kita membincangkan isu dua kumpulan penduduk yang tinggal di satu kawasan sama, tetapi mendapat layanan berbeza tanpa sebarang alasan,” katanya.

Menurut Van Esveld, ketika pendatang haram Yahudi boleh berhubung secara langsung dengan pentadbir tanah jajahan itu, warga Palestin pula tidak dilayan sama sekali.

Diskriminasi itu, katanya, menyebabkan mustahil bagi penduduk asal tanah Palestin itu mendapat permit bagi membina kediaman.

Katanya, selepas menghadapi pelbagai kesukaran dan kezaliman Zionis, diskriminasi di penempatan haram Yahudi itu menambahkan lagi keperitan warga Palestin di Tebing Barat.

Kekecewaan mendorong kebanyakan penduduk asal berpindah ke kawasan lain.

“Diskriminasi itu sangat ketara,” katanya.

Justeru, HRW mencadangkan komuniti antarabangsa mengenakan tindakan ke atas rejim Zionis, termasuk memotong bantuan kepada Israel.

“AS - yang menyediakan bantuan bernilai AS$2.75 bilion (RM8.7 bilion) setahun - perlu menggantung peruntukan itu dan hanya menyalurkannya mengikut nilai subsidi dibelanja Tel Aviv untuk penduduk Palestin,” kata laporan itu.

Berdasarkan kajian pada 2003, nilai perbelanjaan Israel untuk penduduk Palestin di Tebing Barat hanya AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion).

HRW juga menggesa Washington bersikap lebih adil apabila memberikan pengecualian cukai terhadap mana-mana pertubuhan yang menyalurkan bantuan kepada penempatan haram di Tebing Barat.

Kata HRW, Washington perlu menjelaskan bagaimana dasar itu selari dengan tanggungjawab AS yang kononnya bersungguh-sungguh memastikan semua negara mematuhi undang-undang antarabangsa.

Ketika ini, kira-kira 500,000 pendatang haram Yahudi menetap di lebih 130 lokasi diceroboh dan dijajah rejim itu di seluruh Tebing Barat. - AFP

No comments:

Post a Comment