Pages

Tuesday, December 7, 2010

Wahabi: Istilah Yang Ditakuti!




Antara ketakutan dalam diri manusia adalah apabila dia diberikan suatu gelaran yang membawa maksud yang buruk dalam masyarakat, ‘Wahabi’ merupakan contoh gelaran yang ditakuti apabila seseorang itu berada di dalam lapangan agama. Masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada segelintir golongan umat Islam yang mempunyai tafsiran dan pemahaman yang berbeza mengenai soal ibadat. Contohnya, apabila seseorang itu tidak membaca doa Qunut ketika solat subuh, maka dia akan dituduh sebagai penganut fahaman Wahabi. Begitu juga jika seseorang itu menolak mengadakan majlis kenduri arwah, maka dia juga akan dituduh sebagai Wahabi. Secara ringkasnya, apa sahaja pandangan atau pendapat yang melawan arus pemikiran perdana umat islam di Malaysia, maka berkemungkinan besar si pembawa idea atau pendapat itu akan digelarkan sebagai Wahabi. Persepsi ini merupakan satu stigma pemikiran yang yang telah lama mendominasi pemikiran tradisionalis umat Islam di Malaysia. Penulisan ringkas ini tidak menjuruskan benar atau salah fahaman ini, namun sekadar santapan ringkas agar ilmu dan pemahaman dapat diluaskan.


Gelaran Wahabi sebenarnya disandarkan kepada seorang tokoh agama yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahab. Di zamannya, Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab merupakan seorang yang tegas dalam membersihkan akidah umat islam yang mana ketika itu dicemari dengan pelbagai unsur-unsur inovasi dalam agama seperti pemujaan kubur alim ulama’ dan pembinaan di atas kuburan. Kebanyakan tanggapan mendakwa fahaman ini mendukung idea dan perjuangan Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab dalam membersihkan akidah umat Islam. Sewajarnya, jika gelaran wahabi ingin disandarkan kepada Sheikh ini, ia sepatutnya menggunakan gelaran ‘Muhammadiyyah’. Namun musuh-musuh Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab sengaja menggunakan istilah Wahabi untuk mengaitkan diri Sheikh itu dengan fahaman Khawarij yang mendakwa orang Islam sebagai murtad jika melakukan dosa. Namun hal ini telah dinafikan olehnya dalam surat yang ditulis kepada penduduk Qassim, ‘saya tidak pandang mana-mana orang Islam sebagai kafir kerana dosa mereka, dan saya juga tidak mengeluarkannya dari agama Islam.’ (ruj: Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life & The Essence of His Call, Prof Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqaily, edisi terjemahan oleh Hamidun Abdullah untuk Institute As-Sunnah, Perlis) Sebenarnya, terdapat banyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada tokoh ini sehingga menjadikan gelaran Wahabi sebagai satu istilah yang ditakuti, namun kebanyakkan tuduhan itu telah pun dijawab dengan ilmiah. Walaupun berlaku banyak fitnah terhadap dirinya, namun sumbangan besarnya dalam bidang akidah tetap dihargai oleh ramai ulama’ dunia seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sheikh Ali Tantawi dan lain-lain ulama’ besar dunia. Memetik kata-kata Al-Qardhawi ‘Prioritas dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mempraktekkannya dalam rangka menghancurkan berbagai fenomena kemusyrikan.’ (ruj: Fiqh Aulawiyyat, Dr Yusuf Al-Qardhawi)


Realiti yang berlaku di dunia Islam, kebanyakkan pemikiran tradisionalis menganggap fahaman Wahabi ini sebagai unsur yang menyimpang di dalam Islam. Dukacita juga sebahagian dari mereka meletakkan fahaman ini sebagai terkeluar daripada Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Majoriti yang menjadi pemikir seperti ini hanyalah merupakan mangsa kepada keadaan yang telah membutakan mereka kepada kefahaman yang rigid. Mereka menganggap, apa sahaja yang bercanggah dengan nilai mazhab Syafie mengikut kefahaman mereka, nilai itu akan dianggap sebagai tertolak walaupun ia masih berlegar dalam ruang ASWJ. Oleh itu, sebarang usaha tajdid untuk memberikan satu sudut pandang yang berbeza terhadap Islam, maka kadangkala ia akan ditolak secara mentah dengan beralasan pandangan itu sebagai pegangan fahaman Wahabi. Al-Qardhawi mengulas mengenai isu takut kepada usaha tajdid, katanya ‘Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan (tajdid), tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.’ (ruj: Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi)


Di Malaysia, golongan yang mendukung fahaman Wahabi ini lebih gemar jika ia digelarkan sebagai Salafi, Pro-tajdid atau pendukung Sunnah. Mereka ingin membawa satu kaca mata yang lebih besar terhadap fahaman ini dengan menekankan pemahaman Islam menurut manhaj para Salaf. Al-Salaf memiliki erti orang-orang yang mendahului dari bapak-bapakmu dan kaum kerabatmu yang mereka di atasmu dalam hal usia dan keutamaan..... Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka adalah salaful ummah (pendahulu ummat), dan siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka juga salaful ummah. Serta siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka mereka berada si atas manhaj as-Salaf ash-Sholih. (ruj: Studi Ringkas Tentang Manhaj Salaf, Sheikh Abdul Qadir Al-Arna’uth) Manhaj ini menurut mereka tidak membataskan pemikiran dengan lingkungan mazhab semata, tetapi keluasan pemikiran berpandungan Quran dan As-Sunnah yang soheh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam tradisionalis menganggap mereka sebagai bermasalah apabila ada ibadah atau adat yang ditentang oleh pendukung fahaman ini kerana menurut mereka tidak menurut syariat Islam yang sebenar. Hal ini telah menyebabkan berlakulah pertempuran yang berlarutan sekian lama yang mungkin dikenali di Malaysia sebagai ‘kaum muda vs kaum tua’. 


Namun begitu, fahaman Salafi di Malaysia masih boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan menurut pengamatan Ustaz Zaharuddin. Kumpulan pertama ialah yang ekstrem lagi keras dan tegas, kedua pula yang Sederhana (moderate), manakala Ketiga iaitu yang lebih lembut dan toleran (Mild). (ruj: Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan Kursus Latihan ESQ 165, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman) Mungkin pendekatan kumpulan pertama iaitu yang bersifat sedikit keras dan ekstrem telah menimbulkan rasa kurang senang dan terkejut masyarakat Islam di Malaysia yang mana rata-rata pemahamannya mengenai ilmu Islam hanyalah pada peringkat asas. Pendekatan bagi kumpulan dua dan tiga kelihatan agak berjaya apabila dapat mempengaruhi sebahagian besar golongan pelajar di universiti dan pekerja profesional. Perkembangan aliran Salaf ini mendapat tentangan agak hebat daripada golongan yang memegang kuasa agama apabila terdapat beberapa tokoh yang didakwa mendukung fahaman Wahabi dilarang memberikan ceramah dibeberapa buah negeri. Terdapat juga pelbagai forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu yang mana bertujuan menerangkan tentang bahaya pemikiran Wahabi yang semakin menular di dalam Malaysia. 


Isu wahabi sebenarnya merupakan masalah persepsi umat Islam yang mana telah digambarkan dengan pelbagai fakta yang dangkal dan tidak benar mengenai fahaman ini. Umat islam di Malaysia perlu diberikan ruang kepada pemikiran yang lebih luas terhadap Islam. Jika suatu pemikiran itu dangkal dan tidak benar, secara automatis pemikiran itu akan berkubur dan tidak mendapat tempat. Masyarakat Islam semakin bijak dalam penilaian, berikan mereka ruang untuk menilai setiap hujah dan fakta mengenai agamanya. Perkara yang terpenting dalam hal ini, kita sewajarnya tidak sesekali mengeluarkan mereka daripada keluarga Islam ASWJ. ‘Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah. Mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama seperti sebahagian mereka.....’ (ruj: Isu Wahabiyyah: Menangani Secara Realiti, Jurnal Penyelidikan Islam bil 19 2006M, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM) 


Oleh: Ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.com

No comments:

Post a Comment