Pages

Friday, December 3, 2010

Trak jadi tanda tanya


TRAK serba guna yang menjadi tempat tinggal warga asing  di Pantai Rekreasi Kampung Air Papan, Mersing.
TRAK serba guna yang menjadi tempat tinggal warga asing di Pantai Rekreasi Kampung Air Papan, Mersing.
Penduduk Kampung Air Papan mahu pihak berkuasa siasat aktiviti warga asing

MERSING: Kira-kira 500 penduduk Kampung Air Papan di sini resah dan bimbang dengan kehadiran sepasang warga asing dipercayai dari Switzerland yang menggunakan sebuah trak pelbagai guna bagi aktiviti yang tidak diketahui sejak lebih sebulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Papan, Mohd Asri Jaafar, berkata kehadiran mereka amat menggusarkan penduduk apatah lagi pasangan itu mengusir sesiapa saja yang mendekati trak mereka.
Katanya, penduduk mula merasakan sesuatu yang tidak kena berikutan pasangan yang tinggal di pantai rekreasi di jalan baru Air Papan-Tanjung Resang dekat kampung itu menunjukkan reaksi tidak senang hati setiap kali ada yang menghampiri trak mereka.
Perbuatan mereka nyata menimbulkan rasa sangsi di kalangan kami dan kehadiran mereka mula diperkatakan kerana bukan saja bersikap sombong, malah akan memarahi pengunjung pantai yang cuba mendekati trak mereka untuk melihat kandungan dalam kenderaan terbabit.

Malah, penduduk juga bimbang kehadiran dan perlakuan ganjil mereka terbabit akan membuka peluang kepada mereka untuk menjalankan aktiviti tidak sihat serta boleh mengancam keselamatan orang awam, katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, trak pelbagai guna itu dipercayai dilengkapi pelbagai alat dan kemudahan canggih termasuk sistem radar, solar dan parabola yang dipasang pada kenderaan mereka sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada penduduk tujuan sebenar mereka.

Mohd Asri berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terhadap perkara berkenaan, malah lebih membimbangkan apabila warga asing terbabit mungkin boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan penduduk berikutan tempat tinggal mereka tidak berpenghuni.
Katanya, keadaan mungkin lebih membahayakan apabila tempat mereka berteduh agak gelap, selain sikap angkuh mereka yang enggan menjawab pertanyaan penduduk mengenai tujuan dan fungsi trak mereka di kawasan mereka.

Kami merasakan seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan warga asing itu, jika tidak mereka tidak akan mengusir dan melarang sesiapa saja yang cuba mendekati trak mereka terutama pengunjung pantai yang seakan berminat untuk mengetahui perkara terbabit.

Justeru, kami sangat berharap pihak berkuasa dan yang terbabit supaya mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu dengan menjalankan siasatan dan mungkin boleh mengusir mereka sekiranya mereka boleh mendatangkan bahaya kepada kami, katanya.

No comments:

Post a Comment