Pages

Sunday, December 5, 2010

Solat Malam


Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”
(Hadis riwayat Abu Daud)


Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata:
“Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat."


Kurniaan di dunia

  • Jauh daripada segala penyakit
  • Lahir kesan taqwa pada wajahnya
  • Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
  • Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
  • Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)


Empat perkara di akhirat

  • Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
  • Dipermudahkan hisab
  • Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
  • Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.


Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya,

“Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?”

Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!”
(Hadis Riwayat Muslim)



====================
Keutamaan yang diperoleh
====================

1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya

Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."


2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji

Surah al-Israk ayat 79:
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."


3. Mendapat pujian daripada Allah

Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64:
"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri."


4. Dilihat sebagai orang yang beriman

Surah as-Sajadah ayat 16:
"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."


5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas

Surah az-Zumar ayat 9:
"“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."


Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku,

“Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,”
(Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).


Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata,
“Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”

Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W,
“Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal.

Saya lalu berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.”

Saya bertemu dengan malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.”

Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata,
“Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.”

Selepas itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.


Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata,
“Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata,
“Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan,

‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’”
(Hadis Riwayat Al-Jama’ah).


‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata,
“Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim).


Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata,
“Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu berzikir.”
(Hadis Riwayat Abu Daud).


Wassalam


No comments:

Post a Comment