Pages

Thursday, December 9, 2010

Sembilan Peringkat Shalat

1. Sudah ramai di kalangan umat Islam yang sudah tidak bersembahyang. Bahkan ramai yang sudah tidak tahu bersembahyang. Golongan ini berdasarkan sebuah Hadis,mereka sudah menjadi kufur.Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka kafirlah dia secara terang-terangan.(Riwayat Ahmad)
2. Ada di kalangan umat Islam mengerjakan ibadah sembahyang secara jahil . Bacaannya tidak betul. Mereka tidak kenal syarat rukun sembahyang, sah batalnya, cara-cara bersuci sebelum mengerjakan sembahyang. Maka golongan ini tertolak ibadahnya dan berada di dalam dosa dan derhaka.
3. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, faham tentang ilmu sembahyang tetapi oleh kerana tidak boleh melawan nafsu, godaan dunia atau tarikan dunia terlalu kuat, maka mereka mengerjakan sembahyang tidak istiqamah.Kadang-kadang sembahyang, kadang-kadang tidak. Waktu sempat, buat. Bila sibuk, tidak buat. Bila ada mood,sembahyang. Bila tidak ada mood, meninggalkan sembahyang.Inilah golongan fasik.
4. Ada golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, walaupun ilmunya tepat, tapi waktu mengerjakan sembahyang tidak khusyuk. Fikirannya tidak sepenuhnya dengan sembahyang atau terus-menerus mengingat perkara-perkara lain. Fikiran dan jiwanya selalu sahaja melayang-layang dan mengembara ke alam kehidupan sehari-hari. Macam-macam perkara terlintas di dalam sembahyang. Itulah golongan yang lalai. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Allah tidak akan menundukkan pandangan-Nya kepada orang yang hatinya tidak hadir dalam solat bersama-sama badannya.
5. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang sentiasa tarik tali di antara mengingati bacaan sembahyang dengan tidak. Bila lalai dibetulkannya semula. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Ingat dengan lalai sentiasa silih berganti. Mereka tidak mahu begitu tapi terjadi juga. Golongan ini adalah golongan yang lemah . Golongan ini terpulanglah kepada Allah Taala. Moga-moga yang sedarnya dikira, yang tidak sedarnya tidak dikira.
6. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang bertepatan dengan ilmunya kemudian dapat menyorot dan menumpukan bacaannya di setiap perkataan dan lafaz yang diucapkan. Oleh yang demikian fikirannya tidaklah melilau-lilau atau teringat-ingat perkara-perkara yang lain selain daripada perkara-perkara yang ada hubung kait dengan sembahyang tapi tidak pula dapat memahami setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan. Inilah golongan awamul muslimin .
7. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang selain ilmunya tepat, dapat pula menyorot dan mengikuti makna-makna setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan atau dibacanya di dalam sembahyang. Setiap bacaannya dapat difahami. Oleh yang demikian mereka dapat membuat penumpuan di dalam sembahyang hingga tidak teringat lagi perkara di luar sembahyang. Inilah golongan orang-orang yang soleh.
8. Golongan ini sama seperti golongan yang ketujuh tadi, tapi kelebihannya mereka dapat menghayati dan menjiwai setiap makna atau pengertian pada setiap perkataan atau lafaz yang dibacanya. Dengan perkataan yang lain, setiap perkataan yang dibacanya, yang difahaminya, dapat difikirkan dan dijiwai oleh hatinya. Inilah golongan muqarrobin .
9. Golongan ini selain daripada dapat memahami setiap yang dibaca di dalam sembahyang, setiap yang dapat difahaminya itu dapat difikirkan dan dijiwainya sungguh-sungguh hingga asyik, tenggelam dan mabuk dengan Tuhan, sama ada mabuk takut atau mabuk rindu hingga alam sekelilingnya dan dirinya tidak disedarinya lagi. Itulah golongan siddiqin .

No comments:

Post a Comment