Pages
▼
Monday, December 6, 2010
Parlimen Britain diceroboh perisik Russia
LONDON: Seorang wanita Russia yang bekerja sebagai pembantu ahli Parlimen Britain mungkin diusir dari negara itu selepas pihak keselamatan mengesyaki dia bekerja sebagai perisik.
Akhbar Sunday Times semalam melaporkan, selain membantu ahli politik itu, Katia Zatuliveter turut berkhidmat dengan agensi perisikan Russia.
Menurut laporan, Katia, 25, tidak bertindak sebagai perisik aktif, sebaliknya sekadar perisik pasif - dikenali dengan istilah ejen sleeper bagi SVR, sebuah agensi yang khusus mendapatkan maklumat dari negara asing.
Seseorang ejen memang sukar dikesan dan hampir tidak berhubung langsung dengan agensinya tetapi sangat berpotensi dimanfaatkan apabila keadaan memerlukan.
Ejen itu juga tidak diberi gaji oleh agensi terbabit kerana mempunyai pekerjaan sendiri untuk membiayai kehidupan seharian, menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan atau mengesyaki mereka.
Sunday Times melaporkan, Katia bekerja sebagai pembantu Mike Hancock dari Parti Demokratik Liberal.
Sumber berkata, agensi perisikan Britain, MI5, yakin Katia memang mensasarkan Hancock, 64, yang mempunyai kepentingan bagi Russia.
Menganggotai jawatankuasa khas pertahanan, Hancock juga seorang kaki perempuan.
Mereka dikatakan bertemu kali pertama di Strasbourg, Perancis.
Kata sumber, Katia gemar berkeliaran dengan berpakaian seksi bersama Hancock.
Sebelum diterima bekerja, Katia memang menjalani proses pemeriksaan keselamatan.
Katia ditahan polis minggu lalu dan kini menunggu masa diusir.
Dia juga pernah disoal siasat ketika tiba di Lapangan Terbang Gatwick Ogos lalu sebelum dibebaskan.
Mengulas laporan itu, Hancock menafikan Katia pernah melakukan sebarang kesalahan.
“Dia bukan perisik Russia.
“Saya tak tahu apa-apa mengenai perisikan, tetapi dia berdepan dengan tindakan diusir dari Britain,” katanya.
Menurut Hancock, jika Katia diusir, dia akan membuat rayuan atas hukuman itu.
Jurucakap Parti Demokratik Liberal yang menjadi komponen kerajaan Britain berkata, mereka dimaklumkan mengenai penahanan Katia.
Kerajaan pula tidak dapat memberi sebarang komen atau pengesahan jika ada arahan pengusiran dikeluarkan.
Sementara itu, sumber keselamatan berkata, kehadiran Katia ‘tidak kondusif kepada keselamatan negara’.
Kejadian itu adalah kes pertama membabitkan ejen perisikan asing menceroboh Parlimen Britain sejak berakhirnya Perang Dingin pada 1991. - Reuters
No comments:
Post a Comment