Pasukan keselamatan Saudi meronda di jalan-jalan raya sekitar Masjid Quba untuk mencegah berlaku keganasan di kejiranan tersebut RIYADH: Pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya meleraikan pergaduhan antara sekumpulan pengikut puak Syiah dengan sekumpulan golongan Sunni di bandar Madinah. Pergaduhan tersebut tercetus semasa puak Syiah itu menyambut Hari Asyura lewat kelmarin, kata sumber-sumber Syiah dan seorang wartawan tempatan. Arab Saudi, sebuah negara pengeksport minyak utama di dunia, mengamalkan versi fahaman Sunnah Wal Jamaah atau Sunni yang tegar yang sering dikaitkan dengan fahaman Wahhabi. Puak minoriti Syiah di Arab Saudi pula berkata, sedang layanan terhadap mereka bertambah baik di negara itu di bawah perubahan yang dilancarkan oleh Raja Abdullah, mereka masih lagi menghadapi banyak halangan dan diskriminasi. Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun menafikan dakwaan-dakwaan itu. Sebuah laman web kumpulan Syiah, Rasid.com, berkata sekumpulan pengikut Sunni telah menyerang beberapa anggota kumpulan Syiah dengan batu-batu sedang mereka berada di luar untuk memperingati hari cuti Asyura di Madinah, salah satu daripada dua bandar suci Islam di Arab Saudi. Seorang penduduk Syiah juga mengesahkan kejadian itu kepada agensi berita Reuters. Beliau berkata, insiden itu terjadi dekat Masjid Quba. Lazimnya, pada perayaan Hari Asyura, para pengikut puak Syiah memperingati pembunuhan cucu Nabi Muhammad, Imam Hussein, secara tradisional dengan menjalani satu upacara mencambuk diri sendiri sehingga berdarah. Namun, para pengikut Syiah di Arab Saudi berkata, mereka tidak dapat memperingati hari tersebut di khalayak awam, di luar beberapa kawasan di wilayah timur negara tersebut, yang mana mereka merupakan penduduk majoritinya. 'Pasukan keselamatan tiba untuk meleraikan orang ramai,' kata seorang wartawan, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan. 'Kakitangan pasukan keselamatan muncul dengan ramainya di Madinah sejak itu, dengan anggota polis meronda jalan-jalan rayanya,' tambah beliau. Sebuah laman web ehwal semasa Arab Saudi, sabq.org, memetik seorang jurucakap polis sebagai berkata bahawa pihak polis telah campur tangan untuk menghentikan pertelingkahan antara dua kumpulan terdiri daripada orang muda yang terbabit dalam insiden melontar batu itu. 'Suasananya sekarang ini sudah reda sepenuhnya,' kata jurucakap itu, Encik Muhsin al-Radadi, yang dipetik oleh laman tersebut. 'Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca pertelingkahan itu. Pasukan polis sudah ditempatkan di kawasan itu untuk mengelakkan berlaku keganasan dalam kejiranan itu,' kata Encik al-Raddadi, seperti yang dipetik oleh laman berita Arab News. Kementerian Dalam Negeri di Riyadh tidak segera dapat dihubungi untuk memberi ulasannya mengenai insiden tersebut. Para pegawai berkata, puak Syiah membentuk sehingga 10 peratus penduduk di Arab Saudi, sementara para diplomat pula berkata golongan itu membentuk hampir 15 peratus keseluruhan penduduk negara yang kaya dengan minyak itu. Golongan Syiah sering mengadu bahawa mereka biasanya diserang secara lisan oleh ulama-ulama Sunni dan sukar mendapat jawatan kanan dalam kerajaan dan jawatan dalam pasukan keselamatan. Kerajaan Arab Saudi menafikan dakwaan itu. -- Agensi. |
Pages
▼
No comments:
Post a Comment