Pages

Tuesday, December 21, 2010

Korea Selatan berlatih perang di YeongPyeong



PULAU YEONPYEONG, Korea Selatan 20 Dis. - Korea Selatan melancarkan latihan tentera dengan peluru hidup di pulau sempadan ini hari ini, tanpa mempedulikan ugutan Korea Utara untuk bertindak balas, sementara usaha diplomasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan krisis serantau itu.
Namun dalam satu perkembangan positif, CNN melaporkan, Korea Utara mencapai persetujuan dengan utusan Amerika Syarikat (AS), Bill Richardson untuk membenarkan kedatangan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke negara itu bagi meredakan ketegangan di Semenanjung Korea.
"Latihan sudah bermula. Angkatan bersenjata kami kini dalam keadaan berjaga-jaga dan jet-jet pejuang diterbangkan untuk berwaspada terhadap sebarang kemungkinan," kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada 2.30 petang (1.30 petang waktu Malaysia).
Agensi berita Yonhap berkata, dua kapal pemusnah turut dikerahkan ke barisan depan di Laut Kuning.
Latihan itu dilaporkan tamat kira-kira sejam kemudian.
Bulan lepas, latihan serupa disusuli dengan bedilan meriam Korea Utara ke atas pulau ini, menyebabkan empat orang terbunuh.
Pyongyang mengancam untuk melancarkan serangan lebih dahsyat jika latihan minggu ini diteruskan.
Di New York, Majlis Keselamatan PBB gagal mempersetujui kenyataan mengenai krisis tersebut dan Rusia memberi amaran masyarakat antarabangsa kini tidak mempunyai 'strategi' untuk meredakan ketegangan yang makin meningkat.
China menangkis tuntutan Barat supaya sekutunya, Korea Utara dikutuk secara terbuka kerana serangan ke atas Pulau YeonPyeong pada 23 November lalu.
Malah China juga menolak kenyataan yang tidak menyebut nama Korea Utara atau YeonPyeong, kata diplomat di PBB.
"Kini kita menghadapi situasi ketegangan politik yang sangat serius dan tidak mempunyai strategi mengikut saluran diplomatik," kata Duta Rusia, Vitaly Churkin. - AFP

No comments:

Post a Comment